
KUALA LUMPUR – Jumlah ‘like’, komen, dan perkongsian di platform media sosial seperti TikTok dan Facebook bukan lagi penentu mutlak kepada sokongan sebenar rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar menegaskan bahawa data interaksi di media sosial sering kali mengelirukan kerana ia tidak menggambarkan landskap politik yang realistik.
Menurut beliau, berdasarkan statistik, hanya sekitar 3 hingga 5 peratus sahaja pengguna media sosial yang aktif memberikan reaksi atau respon terhadap kandungan yang dimuat naik oleh ahli politik.
”Bermakna 90 peratus lagi pengguna media sosial ini adalah golongan ‘silent’ (senyap). Kita tidak tahu sama ada mereka menyokong, suka, atau tidak suka. Malah, jumlah interaksi ini juga boleh dimanipulasi melalui ‘booster’ yang boleh dibeli,” katanya ketika ditemuramah baru-baru ini.
Rakyat Tolak Janji Manis, Mahu Isu Semasa Diselesaikan
Mengulas lanjut mengenai corak pemikiran pengundi, Dr. Norman berkongsi hasil kajian tesisnya yang menguji 12 faktor utama sebelum pengguna media sosial memutuskan untuk memberikan sokongan kepada seseorang ahli politik.
Hasil kajian tersebut mendedahkan bahawa rakyat kini secara jelas menolak hantaran atau propaganda politik yang berunsurkan ‘pengharapan kosong’ dan rancangan jangka masa panjang yang terlalu lama.
”Rakyat dah serik dengan janji-janji seperti ‘hari ini menang, besok harga minyak turun’. Itu adalah jangkaan atau pengharapan yang realitinya tidak berlaku.
”Malah, rakyat juga kurang berminat dengan perancangan progresif untuk tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang kerana ia terlalu lama. Apa yang mereka mahu lihat sekarang adalah penyelesaian kepada isu semasa,” jelas beliau.
Antara isu kritikal yang menjadi tumpuan utama rakyat ketika ini termasuklah isu kos sara hidup, harga minyak, perumahan rakyat, serta masalah setempat seperti kualiti jalan raya dan kesesakan lalu lintas.
’Like’ Hanya Reaksi, Bukan Keyakinan
Dr. Norman turut mengingatkan ahli-ahli politik supaya tidak terpedaya dengan impak algoritma media sosial yang mudah meraih publisiti melalui kandungan berunsur sensasi atau hiburan.
”Kalau nak raih reaksi orang, buat posting lawak atau posting sensasi yang maki-maki sikit, pasti akan ada orang ‘like’ dan komen.
”Tetapi hakikatnya, ‘like’ hanyalah satu reaksi spontan dan ia bukanlah penentu kepada keyakinan atau sokongan sebenar terhadap sesebuah parti politik,” katanya mengakhiri bicara.
#BeritaAAC #PRU16 #PolitikMalaysia #KosSaraHidup #SuaraRakyat