
KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Isu kelewatan pemulangan gajah-gajah khazanah negara, Dara Amoy dan Kelat, yang kini berada di Zoo Teknologi Osaka, Jepun, semakin meruncing apabila pihak aktivis sosial mengancam untuk membawa kempen kesedaran ini ke pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Aktivis Sosial merangkap wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar meluahkan rasa kesal dan menyifatkan penjelasan serta janji yang diberikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian, di bawah pimpinan Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, sebelum ini hanyalah sebuah ‘sandiwara’ yang berpanjangan.
Menurut beliau, walaupun pihak kementerian dan Ketua Setiausaha (KSU) telah memberikan taklimat serta menyatakan komitmen untuk menyegerakan proses membawa pulang haiwan tersebut demi memenuhi kehendak rakyat, namun sehingga kini tiada sebarang keputusan muktamad yang dicapai.
”Sandiwara ini masih berpanjangan. Sekarang dah masuk musim pilihan raya negeri di Johor, dan ia belum juga berhenti. Saya sendiri akan turun ke Johor untuk berkempen di mana-mana kawasan yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mesej kami jelas: bawa balik gajah dulu, baru bertanding,” tegas beliau dalam kenyataan medianya hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kronologi usaha berkenaan, Dr Kalaivanar mendedahkan rombongan mereka bersama Puan Izwana sebelum ini pernah dipelawa oleh mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, untuk ke Tebrau bagi menyerahkan memorandum penyelidikan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walau bagaimanapun, beliau mendakwa pertemuan tersebut seolah-olah dipandang sepi tanpa sebarang tindakan susulan yang konkrit, meskipun pihaknya tidak menuntut sebarang peruntukan kewangan atau dana daripada mana-mana kementerian.
Beliau turut mempersoalkan kekeliruan status perjanjian antara Malaysia dan pihak Jepun apabila timbul percanggahan kenyataan antara pihak kementerian dan pengurusan zoo tempatan. Menteri sebelum ini menyatakan urusan tersebut adalah berbentuk ‘Perniagaan kepada Perniagaan’ (B2B), manakala Yang Dipertua (YDP) Zoo Taiping, Tuan Akmal, menjelaskan ia adalah urusan ‘Zoo kepada Zoo’.
”Jika ia sekadar urusan ‘Zoo kepada Zoo’, ini bermakna ia bukan komitmen mutlak G2G (Kerajaan kepada Kerajaan). Jadi, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mengambil inisiatif dan mengeluarkan arahan segera bagi membawa pulang gajah-gajah tersebut. Persoalannya, kenapa mereka enggan bertindak? Apakah ada ‘imbuhan’ di sebalik semua ini?” soalnya lagi.
Tambah Dr Kalaivanar, pendedahan mengenai kesengsaraan gajah-gajah tersebut di Osaka telah mendapat simpati meluas rakyat Malaysia di media sosial sehingga ada yang meluahkan rasa tidak senang melihat keadaan haiwan tersebut. Beliau turut merujuk kepada kes gajah Asia dari India, Rani Hiroko, yang dihantar ke Jepun pada tahun 1972 dan akhirnya mati dalam kesendirian pada tahun 2018, menyebabkan India menghentikan terus penghantaran gajah ke negara tersebut.
Memandangkan terdapat cadangan daripada beberapa pihak untuk menyelesaikan kemelut perjanjian 25 tahun ini melalui jalan perundangan yang dikhuatiri memakan masa bertahun-tahun, beliau menegaskan bahawa pihaknya kini beralih arah untuk memohon intervensi daripada institusi beraja.
”Kita tidak mahu kes ini diheret sampai 3 ke 4 tahun menggunakan peguam sementara nasib haiwan tersebut terbiar. Harapan terbaik kita sekarang adalah ‘Payung Kuning’. Kami berhasrat untuk menghadap ke Istana Perak bagi memohon pembelaan demi menyelamatkan khazanah negara ini sebelum keputusan PRN Johor dimuktamadkan,” katanya menutup bicara.
#SelamatkanGajahKita #KembalikanKhazanahNegara #SuaraRakyatAAC #DatoKalaivanar #PRNJohor2026