
PONTIAN – Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, berkongsi jadual padatnya serta pandangan peribadi mengenai landskap politik semasa dalam satu temubual santai ‘Sembang Kopi’ bersama Dr. Azam Rauzan baru-baru ini.
Dalam temubual tersebut, Ahmad Maslan sempat berseloroh mengenai ‘evolusi’ pantunnya yang kini mempunyai tiga versi berbeza, mengikut fasa hubungan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta situasi semasa di Johor. Beliau turut menyifatkan dinamika politik di mana BN dan PH bekerjasama di peringkat Putrajaya tetapi bersaing di peringkat negeri sebagai satu “kepelikkan politik” yang unik. Tambah beliau, situasi politik di Sarawak juga dijangka memberikan kejutan yang tidak diduga pada masa akan datang.
Ketika ditanya mengenai kelibatnya yang sentiasa kelihatan di pelbagai kawasan tanpa rehat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mendedahkan beliau telah melawat sehingga tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa sehari bagi menjalankan tugas parti. Jadualnya yang amat padat bermula seawal jam 6:00 pagi, merangkumi perjalanan jauh ke Endau, Mersing, Tenggaroh, sehinggalah ke Labis dan Buloh Kasap.
Malah, beliau sempat berkongsi pengalaman bersahaja menumpang tidur dan mandi di Masjid Air Baloi di celah-celah kesibukan kempen. “Saya rasa (rahsia kekal bertenaga dan tiada uban) kerana saya tidak stres. Walaupun kerja macam-macam, alhamdulillah boleh mengamalkan kawalan stres,” katanya ketika diusik mengenai penampilannya yang kekal awet muda pada usia 60-an.
Ahmad Maslan kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, membantu Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam mengemudi struktur parti bagi mendepani PRN Johor.
#AhmadMaslan #PRNJohor #SembangKopi #PolitikMalaysia #BeritaAAC
