
PONTIAN, 7 Julai 2026 – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan mengesahkan komitmen padu jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen tersebut, iaitu DUN Pulai Sebatang dan DUN Benut.
Menurut beliau, bagi DUN Pulai Sebatang, BN mempertaruhkan penyandang sedia ada, Hajah Hasrunizah Hassan. Mengulas mengenai prestasi beliau, Ahmad Maslan menyatakan bahawa Hasrunizah yang telah berkhidmat selama empat tahun tiga bulan, mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta latar belakang profesional yang mantap dalam bidang kejuruteraan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) selama 22 tahun.
Sementara itu, bagi DUN Benut, berlaku peralihan calon bagi menggantikan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. Berdasarkan amalan UMNO yang kebiasaannya memperuntukkan hanya satu jawatan buat Ahli Parlimen atau DUN, pucuk pimpinan memutuskan untuk meletakkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Mohammad Sumali Ridwan sebagai calon baharu di Benut. Ahmad Maslan menyifatkan Mohammad Sumali sebagai calon tempatan yang dinamik, berpendidikan tinggi (calon PhD), serta mempunyai reputasi luar biasa di peringkat kebangsaan selaku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).
Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut mendedahkan situasi positif membabitkan sokongan daripada kepimpinan dan ahli PAS di kedua-dua DUN tersebut. Jelas beliau, calon-calon BN telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS tempatan dan menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan.
”Ahli PAS ini mereka ‘wala’ (setia) kepada perintah pimpinan. Perintahnya ialah di mana-mana kawasan PAS tidak bertanding, ahli-ahli PAS di kawasan tersebut hendaklah menyokong UMNO dan Barisan Nasional. Alhamdulillah,” ujar beliau dalam satu sesi temubual ‘Sembang Kopi’ bersama Dr. Azam Rauzan.
Sesi saingan di kedua-dua DUN ini disahkan bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)/Amanah. Ahmad Maslan yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya bagi kawasan tersebut, menyatakan keyakinan penuh terhadap kesiapsiagaan jenteranya yang turut diketuai oleh Haji Jamaluddin Majid di Pulai Sebatang dan Datuk Jaafar Osman di Benut.
#AhmadMaslan #PRNJohor #PolitikMalaysia #BarisanNasional #BeritaAAC
