
KUALA LUMPUR – Sokongan masyarakat India kini dilaporkan kembali beralih kepada pangkuan Barisan Nasional (BN) dan MIC ekoran rasa kecewa yang mendalam terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) serta DAP.
Menurut Aktivis Sosial yang juga Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, peralihan landskap politik ini dibuktikan menerusi prestasi cemerlang MIC yang mencatatkan kemenangan 100 peratus dengan memenangi kesemua empat kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya sebelum ini.
Rakyat Sudah ‘Fed Up’
Jelas Dr. Kalaivanar, kepulangan pengundi India kepada BN bukanlah satu tindakan melulu, sebaliknya ia adalah isyarat jelas bahawa komuniti tersebut sudah muak dengan kegagalan PH menunaikan janji mereka.
”Bukan mereka cinta sangat kepada MIC atau BN, tetapi kerana mereka dah fed up (muak) dengan DAP dan Pakatan Harapan. Dua-dua kali lima sahaja,” katanya tegas.
Isu MITRA Tergendala & Kritikan Terhadap Pemimpin PH
Beliau turut membangkitkan isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang didakwa gagal berfungsi dengan baik di bawah pengurusan pihak berkaitan. Dr. Kalaivanar secara terbuka menyelar individu bernama Ramanan yang disifatkannya gagal membantu komuniti tersebut, sebaliknya hanya pandai membuat kenyataan media yang tidak fasih sehingga menyebabkan projek pembangunan masyarakat India tergendala.
Selain itu, beliau turut mengkritik kepimpinan beberapa pemimpin DAP seperti Nga Kor Ming dan Anthony Loke yang disifatkannya “tidak betul” dalam mengendalikan isu rakyat, mendorong komuniti India mengenang kembali jasa-jasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
’Deklarasi Gelang Patah’ Jadi Medium Kesedaran
Mengulas mengenai strategi penyebaran maklumat, Dr. Kalaivanar mendedahkan bahawa video kempen bahasa Tamil miliknya yang dikenali sebagai ‘Deklarasi Gelang Patah’ telah tular secara meluas di Johor dan Negeri Sembilan. Video tersebut secara konsisten menyeru masyarakat India agar tidak lagi mengundi DAP, sebaliknya memberikan undi kepada BN, PSM, atau calon Bebas.
Beliau turut mendakwa PH kini ketandusan modal politik apabila sering menggunakan isu perundangan Najib Razak sebagai modal kempen utama untuk menakut-nakutkan pengundi.
Amaran Keras Buat Ahli Politik
Menutup bicara, Dr. Kalaivanar mengingatkan semua pemimpin politik agar tidak memandang rendah kebijaksanaan rakyat mutakhir ini, terutama dengan kuasa media sosial yang semakin dominan.
”Jangan ingat rakyat Malaysia ini bodoh. Sekarang mereka pintar dan media sosial sangat kuat. Sesiapa yang gagal tunai janji, bersedialah untuk berundur,” katanya.
#BeritaAAC #DrKalaivanar #IsuMitra #PolitikMalaysia #MasyarakatIndia
