
KUALA LUMPUR , 13 Julai 2026 – UMNO menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian rasmi yang dimeterai antara parti itu dengan PAS setakat ini, meskipun terdapat dakwaan mengenai perundingan kerusi antara kedua-dua pihak.
Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya wujud sebarang perbincangan sebelum ini, ia hanyalah sekadar satu bentuk persefahaman atau understanding sahaja, bukannya komitmen rasmi.
”Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai satu kenyataan yang tepat kerana kita tidak ada sebarang perjanjian dengan PAS.
”Cuma kalau ada perbincangan pun, sekadar understanding atau persefahaman, dan kita tidak mengutamakan sebarang perbincangan itu. Kita lihatlah perkembangannya,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pendirian UMNO terhadap PAS, Ahmad Zahid mengingatkan ahli dan kepimpinan parti agar tidak terlalu optimis atau ‘memegang erat’ kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan parti berkenaan.
Beliau merujuk kepada pengalaman politik sebelum ini, khususnya di Johor, di mana apa yang dinyatakan oleh pihak lawan sebelum hari penamaan calon sering kali berubah apabila tiba hari pengundian.
”Jangan positif sangat dengan mereka ini, cuma kita harus ada bersangka baik sahaja tetapi jangan terlalu yakin. Mereka boleh tukar goal post (pintu gol) bila-bila masa sahaja.
”Banyak parti dah ‘kena’ dengan mereka ini. Jadi saya harap mereka tidak berubahlah, dan saya anggap itu hanyalah kenyataan politik oleh mereka,” tambah beliau lagi.
#ZahidHamidi #UMNOvsPAS #PolitikMalaysia #BarisanNasional #BeritaAAC
