
KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara yang diketuai oleh aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, hari ini tampil menyuarakan pembelaan terhadap seorang warga emas berusia 71 tahun yang didakwa menjadi mangsa kecuaian pihak berkuasa tempatan sejak sepuluh tahun lalu.
Mangsa, Pushpawali A/P Arumugam, dilaporkan mengalami kecederaan fizikal yang teruk pada muka dan pergigian selepas terjatuh akibat struktur penutup besi longkang yang condong dan terbuka. Kejadian tersebut berlaku pada tahun 2016 sekitar jam 6:00 petang sewaktu mangsa ingin membuang sampah di kawasan kediamannya di PPR Pantai Ria, Jalan Kampung Pasir.
Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, insiden berkenaan jelas menunjukkan satu bentuk kelalaian dan ketidakpedulian daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyelenggara kemudahan awam sehingga mendatangkan bahaya kepada penduduk.
”Ini adalah isu keadilan dan hak setiap pengguna. Akibat kecuaian ini, mangsa terpaksa menanggung kesengsaraan fizikal dan emosi. Kami mempersoalkan ketelusan dan tanggungjawab pihak berkuasa dalam menguruskan kebajikan rakyat marhaen,” tegas beliau dalam satu sidang media hari ini.
Lebih mengecewakan, mangsa didakwa telah mengunjungi pejabat DBKL melebihi 50 kali bagi menuntut pembelaan, namun hanya diberikan jawapan yang menghampakan. Malah, mangsa juga mendakwa telah bertemu dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebanyak 30 kali untuk memohon bantuan, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan konkrit diambil.
Dalam pada itu, mangsa yang turut hadir dalam sidang media tersebut gagal menahan sebak lalu mengalirkan air mata kegembiraan dan kekecewaan mengenangkan nasibnya yang teraba-aba tanpa pembelaan serta hanya diminta menunggu tanpa kepastian setiap kali membuat susulan.
Susulan itu, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara memberikan tempoh selama 10 hari bermula Isnin ini kepada pihak DBKL untuk memberikan maklum balas. Pihak sekretariat bersama barisan peguam juga akan menghantar satu memorandum rasmi serta Letter of Demand (LOD) beserta laporan perubatan lengkap bagi menuntut keadilan serta pampasan yang setimpal buat mangsa.
Dato’ Dr Kalaivanar turut menyeru orang ramai agar menilai semula keberkesanan wakil rakyat yang dipilih dan memilih pemimpin yang benar-benar turun padang untuk bekerja demi kebajikan rakyat tanpa mengira ideologi politik pada masa hadapan.
#BeritaAAC #KeadilanUntukRakyat #IsuPPRPantaiRia #AduanAwamDBKL #DatoDrKalaivanar
