Dato’ Dr. Kalaivanar Bidas Kelewatan JPN Selesaikan Isu NUR SHARMILA

KUALA LUMPUR – Bayangkan perasaan anda apabila disahkan sudah ‘mati’ oleh pihak berkuasa sedangkan anda masih bernyawa dan sedang berdiri teguh menjalani kehidupan seharian. Itulah nasib malang yang menimpa seorang wanita, Nur Sharmilah binti Mohamed Adam, 36, yang sehingga kini masih berjuang untuk mendapatkan semula identiti dirinya yang sah.
Isu yang pernah tular pada Disember tahun lalu ini kembali hangat apabila Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, menerusi aktivis sosial Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil mendedahkan kelambatan tindakan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meskipun keputusan ujian DNA telah pun diperoleh.
Menurut Dr. Kalaivanar, ujian DNA yang melibatkan Nur Sharmilah, bapanya (Mohamed Adam), dan ibunya telah pun dijalankan atas arahan pihak berkuasa. Malah, Jabatan Kimia Malaysia dilaporkan telah menyerahkan keputusan ujian tersebut kepada JPN sekira-kiranya pada 2 April yang lalu.
“Keputusan DNA daripada Jabatan Kimia sudah diperoleh sejak April. Sekarang sudah masuk bulan Julai. Sudah empat bulan berlalu, mengapa kes ini masih membisu? JPN kata sedang dalam siasatan dan proses, tetapi sampai bila mangsa harus hidup dalam status ‘mati’?” tegas Dr. Kalaivanar dalam satu sidang media hari ini.
Nur Sharmilah yang turut hadir kelihatan sebak dan kecewa apabila saban hari menghubungi pihak JPN namun hanya menerima jawapan yang sama iaitu kes “masih dalam proses siasatan” tanpa sebarang butiran terperinci.
Difahamkan, Nur Sharmilah telah diserahkan ke rumah kebajikan di Cheras sejak bayi sebelum memeluk Islam dan membesar di sana. Isu status kewarganegaraan dan sijil kematian yang dikeluarkan secara salah oleh JPN ini telah menyukarkan kelangsungan hidup beliau, menjadikannya seolah-olah ‘gila’ menuntut hak sendiri.
Sehubungan itu, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mendesak Ketua Pengarah JPN untuk memandang serius isu ini atas dasar kemanusiaan. Dr. Kalaivanar turut menyeru agar pihak kerajaan, khususnya ahli parlimen, lebih peka dan proaktif dalam membantu menyelesaikan isu-isu birokrasi kritikal sebegini yang menindas rakyat marhaen.
#KeadilanUntukSharmilah #IsuJPN #RakyatMarhaen #BirokrasiKelewatan #BeritaViralMalaysia
