
KUALA LUMPUR , 19 Julai 2026 – Perdana Menteri mempunyai hak mutlak untuk memecat mana-mana menteri atau timbalan menteri yang dilihat sengaja melampaui batas atau tidak lagi menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa pelantikan mana-mana individu di dalam Jemaah Menteri adalah atas ihsan dan budi bicara Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kedudukan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO atau Barisan Nasional (BN) sekiranya wujud ketidakpuasan hati atau tindakan menyerang kepimpinan Perdana Menteri.
”Itu keputusan Perdana Menteri. Sebab semua menteri ataupun ahli-ahli Jemaah Menteri berada di dalam Jemaah Menteri atas lantikan daripada Perdana Menteri. Jadi kalau dia rasa ada menteri yang dah melampaui batas, dia (Perdana Menteri) kena keluarkan daripada Jemaah Menteri.
”Biasanya, ministers they serve at the pleasure of the Prime Minister atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jadi kalau Perdana Menteri dah rasa menteri itu dah tak sokong dia dan tak sokong kerajaan dia, the Prime Minister’s right is to sack the ministers,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang.
Ditanya mengenai kesediaan dan komitmen semasa menteri serta timbalan menteri daripada BN ketika ini, Khairy secara berseloroh enggan mengulas lanjut memandangkan beliau tidak berada di dalam kabinet.
”Mengenai perkara itu, saya tak tahu, saya bukan menteri. Kena tanya dialah (menteri berkenaan),” katanya ringkas.
#BeritaAAC #KhairyJamaluddin #PolitikMalaysia #KabinetMalaysia #UMNOBN
