KUALA LUMPUR, 31 Disember 2025 –
Seorang wanita tempatan mendakwa dirinya telah “dimatikan” secara rasmi oleh sistem kerajaan apabila sijil kematian dikeluarkan atas namanya walaupun beliau masih hidup, sekali gus menyebabkan dirinya hilang hak sebagai warganegara, tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan hidup dalam ketakutan selama bertahun-tahun.
Pendedahan mengejutkan itu dibuat oleh Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, yang mewakili mangsa dikenali sebagai Nur Syarmila binti Muhammad Adam, atau nama asalnya Parmila a/p Panir Selvam, dalam satu sidang media hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang pernah berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak kecil, didakwa “dimatikan secara pentadbiran” apabila satu sijil kematian dikeluarkan atas namanya walaupun beliau masih hidup dan pernah memegang MyKad yang sah.
“Bayangkan seseorang masih hidup, berjalan, bekerja, bercakap – tetapi dalam rekod negara dia sudah mati. Ini bukan kesilapan kecil, ini satu kegagalan sistemik yang sangat serius,” tegas Kalaivanar.
Menurut beliau lagi, mangsa diserahkan ke bawah jagaan JKM sejak kecil melalui perintah mahkamah, sebelum ditempatkan di beberapa rumah kebajikan sehingga dewasa. Namun selepas mencapai umur 18 tahun dan cuba menguruskan dokumen peribadi, beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa statusnya telah direkodkan sebagai meninggal dunia sejak tahun 2009.
Lebih mengejutkan, kad pengenalan serta dokumen penting milik mangsa dirampas oleh pihak berkuasa kononnya bagi tujuan siasatan, menyebabkan beliau hidup tanpa identiti sah, tidak boleh bekerja, membuka akaun bank, membuat laporan polis atau mendapatkan sebarang perkhidmatan asas.
“Bagaimana seseorang boleh diisytiharkan mati sedangkan kad pengenalannya masih wujud, saksi hidup masih ada dan tiada bukti fizikal kematian?” soal Kalaivanar.
Beliau turut mempersoalkan peranan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta menuntut siasatan menyeluruh terhadap individu yang meluluskan sijil kematian tersebut, termasuk mengenal pasti siapakah pemberi maklumat palsu yang menyebabkan status mangsa dipadamkan daripada sistem negara.
Menurut beliau, kes ini membuktikan wujudnya kelemahan serius dalam sistem pentadbiran negara sehingga boleh menafikan hak asasi seorang warganegara untuk hidup sebagai manusia yang sah di sisi undang-undang.
“Ini bukan isu politik. Ini isu kemanusiaan. Kalau perkara seperti ini boleh berlaku kepada seorang rakyat biasa, siapa lagi yang akan jadi mangsa selepas ini?” katanya.
Beliau turut menyeru agar pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh serta memulihkan status kewarganegaraan mangsa dengan segera.
#HidupTapiMati #KeadilanUntukSyarmila #GagalSistem #SkandalJPN #HakRakyatDinafikan #IdentitiDirampas #KeadilanUntukRakyat #IsuKemanusiaan #BukaMataMalaysia #AACNews