KUALA LUMPUR, 31 Disember 2025 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya segera menghapuskan sistem tambang secara bidaan (bidding) dalam perkhidmatan e-hailing serta menetapkan kadar tambang lantai yang lebih adil dan berdaya saing.
Menurut PPIM, meskipun sistem bidaan dilihat memberi kelebihan kepada pengguna, realitinya ia telah menekan kebajikan dan kelangsungan pendapatan ribuan pemandu e-hailing yang bergantung sepenuhnya kepada sektor tersebut sebagai sumber rezeki utama.
PPIM berpandangan, penurunan kadar tambang yang berlaku secara tidak terkawal akibat persaingan harga telah menyebabkan pendapatan pemandu semakin merosot, sekali gus menjejaskan kestabilan industri e-hailing secara keseluruhan.
Lebih membimbangkan, PPIM menegaskan wujud ketidakkonsistenan dasar apabila perkhidmatan teksi dilarang menjalankan rundingan harga, namun sistem e-hailing pula dibenarkan mengamalkan konsep bidding, walaupun Menteri Pengangkutan sebelum ini pernah menyatakan bahawa sistem tersebut tidak pernah diluluskan secara rasmi.
“Keadaan ini bukan sahaja mengelirukan, malah menimbulkan persoalan terhadap ketelusan serta keberkesanan penguatkuasaan dasar sedia ada,” menurut kenyataan PPIM.
Sehubungan itu, PPIM menegaskan keperluan mendesak untuk MoT dan APAD menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh melibatkan semua pihak dalam ekosistem e-hailing, termasuk pemandu, pengguna serta syarikat penyedia perkhidmatan.
PPIM turut memberi peringatan bahawa kegagalan menangani isu utama seperti kejatuhan kadar tambang, kenaikan kos insurans e-hailing serta kelemahan pengurusan kuota BUDI95 akan terus membebankan pemandu dan menjejaskan kelangsungan industri ini dalam jangka panjang.
Justeru, PPIM menggesa kerajaan agar bertindak segera dan tegas tanpa sebarang kompromi demi memastikan kebajikan pemandu e-hailing terpelihara serta masa depan industri gig negara kekal adil, mampan dan berdaya saing.


#PPIM #EhailingMalaysia #HapuskanBidding #TambangLantai #BelaPemandu #IndustriGig #KeadilanUntukPemandu #MoT #APAD #SuaraRakyat