KUALA LUMPUR, 30 Disember 2025 — Keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Datuk Seri Najib Razak dalam dua kes utama iaitu berkaitan Titah Addendum dan kes 1MDB Tanore terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin UMNO, khususnya terhadap implikasi lebih besar kepada institusi Raja Berperlembagaan negara.
Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPR Abdul Razak Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut amat mengecewakan bukan sahaja kepada ahli UMNO, malah kepada rakyat yang mengikuti perkembangan kes itu sejak awal.
“Sebagai ahli UMNO, sudah tentu kita berasa kecewa. Kita lihat perjalanan kes ini daripada awal sehingga keputusan minggu lalu, jelas terdapat pelbagai kepincangan dalam proses pengadilan,” katanya.
Menurut beliau, isu sebenar bukan sekadar melibatkan Datuk Seri Najib, sebaliknya memberi kesan besar terhadap prinsip perlembagaan negara, khususnya berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam isu Titah Addendum, kita melihat bagaimana satu perintah yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong telah dipertikaikan, malah akhirnya ditolak di mahkamah. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap kedudukan dan kuasa Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan,” jelasnya.
Tambah beliau, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan sebarang keputusan yang seolah-olah mengehadkan kuasa tersebut boleh memberi kesan buruk terhadap imej institusi diraja.
“Implikasinya sangat besar. Ia bukan hanya mengenai seorang individu, tetapi bagaimana kedudukan Raja sebagai payung kedaulatan negara dilihat dan difahami oleh rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa keadaan ini wajar diberi perhatian serius kerana ia melibatkan prinsip asas negara iaitu kedaulatan undang-undang, keluhuran perlembagaan serta kesetiaan kepada Raja dan Negara.
#NajibRazak #TitahAddendum #KedaulatanRaja #PerlembagaanNegara #UMNOMalaysia #KeadilanUntukNajib #InstitusiDiraja #PolitikMalaysia #AACNews #IsuSemasa