KUALA LUMPUR, 2 Januari 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini tampil membuat laporan dan menggesa siasatan menyeluruh dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung satu kes pelaburan kebun buah-buahan yang disyaki tidak wujud, melibatkan kerugian mencecah lebih RM210,000.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin bin Hashim, pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa yang mendakwa telah diperdaya oleh seorang individu yang menawarkan peluang pelaburan dalam projek penanaman buah-buahan, khususnya buah markisa, di sebuah daerah di negeri Melaka.

Menurut kenyataan itu, mangsa mula berkenalan dengan individu terbabit sekitar awal tahun 2025. Individu tersebut didakwa memperkenalkan dirinya sebagai seorang usahawan berjaya dan memiliki beberapa projek berskala besar, sekali gus meyakinkan mangsa untuk melabur dalam projek pertanian yang kononnya bakal memberikan pulangan lumayan.
Mangsa kemudiannya bersetuju untuk melabur sebanyak RM180,000, iaitu 30 peratus daripada modal keseluruhan projek. Daripada jumlah tersebut, mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM147,800 serta sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM63,000 sebagai baki modal pelaburan.
Bagaimanapun, sehingga kini, mangsa mendakwa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan. Lebih mengejutkan, individu yang menawarkan pelaburan tersebut kini gagal dihubungi dan tidak lagi memberikan sebarang maklum balas berhubung status projek berkenaan.
“Tiada sebarang perjanjian bertulis dibuat, namun janji lisan yang diberikan adalah hasil tanaman akan diperoleh dalam tempoh enam bulan. Namun sehingga kini, bukan sahaja hasil tidak diperoleh, malah wang dan kenderaan mangsa juga lesap,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, MHO mendesak agar pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh di bawah peruntukan Kanun Keseksaan terhadap individu terbabit, memandangkan terdapat maklumat awal yang mendakwa individu sama pernah terlibat dalam beberapa kes penipuan lain menggunakan modus operandi serupa.
“MHO menyeru agar tindakan tegas dan segera diambil bagi mengelakkan lebih ramai orang awam menjadi mangsa penipuan pelaburan seumpama ini,” tegas kenyataan tersebut.
#PelaburanTipu #ScamPelaburan #MHO #KeadilanUntukMangsa #PelaburanPalsu #KesPenipuan #WaspadaPelaburan #BeritaSemasa #AACNews #JanganTerpedaya