KUALA LUMPUR – UMNO perlu membuka ruang seluas-luasnya bagi mempertimbangkan semua kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk dengan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau bergerak secara solo, kata Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman.
Menurut beliau, perkembangan politik mutakhir termasuk isu melibatkan Datuk Seri Najib Razak, isu addendum serta beberapa kenyataan dan serangan sinis daripada pemimpin DAP telah mencetuskan keperluan mendesak untuk UMNO menilai semula kedudukan dan hala tuju parti dalam landskap politik semasa.
“Apabila berlakunya rentetan peristiwa seperti kes Datuk Seri Najib, isu addendum dan juga herdikan serta kutukan sinis daripada DAP, ia telah membentuk satu naratif baharu yang memerlukan kita menilai semula kedudukan UMNO dalam mana-mana gabungan politik,” katanya.
Beliau mengakui bahawa ketika ini UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, namun menegaskan bahawa perancangan menuju PRU16 memerlukan pendekatan lebih terbuka dan strategik.
“Apabila kita bercakap tentang PRU16, kita tidak boleh terkunci kepada satu pilihan sahaja. Kita perlu membuka semua opsyen — sama ada bersama PH, PN atau bergerak secara sendiri — kerana matlamat utama ialah memastikan UMNO memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya lagi.
Tambah beliau, hakikat politik adalah setiap parti bertanding untuk menjadi kerajaan, termasuk PAS, BERSATU mahupun UMNO sendiri.
“Akhirnya semua parti mahu memerintah. Jadi kita juga perlu ada masa untuk menilai kedudukan kita, menyusun strategi, dan memastikan kelangsungan parti terus terjamin. Saya yakin kepimpinan parti akan membuat keputusan terbaik demi survival UMNO,” katanya.
#PRU16 #UMNOBangkit #PolitikMalaysia #SurvivalUMNO #PilihanRaya #PolitikSemasa #KepimpinanUMNO #AACNews #PolitikNegara #NaratifBaharu