KUALA LUMPUR — Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa krisis dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN), khususnya di Perlis, membuktikan kegagalan gabungan itu dalam mengurus kuasa dan kepimpinan.
Menurut beliau, pergolakan yang berlaku bukan berpunca daripada campur tangan mana-mana pihak luar termasuk UMNO, sebaliknya berpunca sepenuhnya daripada perebutan kuasa sesama parti dalam PN sendiri, khususnya antara BERSATU dan PAS.
“Kes di Perlis ini adalah krisis dalaman mereka sendiri. Tiada campur tangan UMNO, DAP atau PKR. Ia berlaku kerana perebutan projek, kuasa dan kepentingan dalaman,” katanya ketika mengulas situasi politik semasa.
Beliau turut merujuk kepada kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini mengakui wujudnya perebutan projek dalam kalangan pimpinan PN. Menurutnya, konflik antara kepimpinan tertinggi PN termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memberi kesan besar sehingga mencetuskan ketidakstabilan di peringkat negeri.
“Di Perlis, lima ADUN BERSATU bersama tiga ADUN PAS sendiri telah menghantar memorandum tidak percaya terhadap Menteri Besar. Ini jelas membuktikan bahawa pergolakan itu berlaku dari dalam, bukan akibat tekanan luar,” katanya lagi.
Beliau menambah, kegagalan PN mengurus sebuah negeri kecil seperti Perlis membuktikan ketidakmampuan gabungan itu untuk mentadbir negara secara keseluruhan.
“Kalau sebuah negeri kecil pun tidak mampu diurus dengan baik, bagaimana mereka mahu mentadbir negara? Belum lagi kita bercakap soal pemilihan Perdana Menteri sekiranya mereka memerintah,” katanya.
Tpr Abdul Razak turut menyeru ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia agar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, sambil menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai parti paling stabil ketika ini.
“Dalam UMNO, tiada lagi kem-kem. Sebaliknya dalam PN, BERSATU bergolak, PAS bergolak, DAP dan PKR juga berdepan perpecahan dalaman. Hakikatnya, hanya UMNO yang kekal stabil dan mampu membawa negara ke arah masa depan yang lebih terjamin,” tegas beliau.
#PergolakanPN #KrisisPerlis #PolitikMalaysia #UMNOKekalStabil #PNGagalUrus #IsuSemasa #BeritaPolitik #AACNews #PolitikTerkini #MalaysiaBangkit