KUALA LUMPUR – UMNO dilihat terus menjadi parti yang digeruni dan dicemburui lawan mahupun rakan politik, terutamanya apabila mencatat kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), kata Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Mohd Razlan Rafii.
Menurut beliau, kekuatan UMNO seharusnya diraikan sebagai nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan dan bukannya dianggap sebagai ancaman oleh mana-mana parti komponen.
“UMNO ini daripada dulu lagi sebenarnya dicemburui. Bila kita menang PRK, bukan sahaja lawan, malah kawan pun ada yang cemburu,” katanya.
Dato’ Mohd Razlan menegaskan bahawa urusan dalaman parti politik perlu dihormati dan tidak wajar dicampuri oleh rakan dalam kerajaan, selaras dengan semangat serta perjanjian asal pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut mengingatkan bahawa menekan kekuatan rakan parti hanya akan merosakkan hubungan dalaman kerajaan, sedangkan kekuatan UMNO sepatutnya menyumbang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran negara.
“Apabila kita melihat kawan itu kuat, sepatutnya ia menjadi sumbangan semula kepada Kerajaan Perpaduan. Kekuatan UMNO ini sebenarnya menambah baik kerajaan,” ujarnya.
Mengulas isu yang dibangkitkan oleh Konvensyen Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, beliau menyentuh soal pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Wilayah Persekutuan yang didakwa tidak dipersetujui oleh Menteri Wilayah ketika itu, namun tetap diteruskan tanpa rundingan dalaman yang sewajarnya.
“Sepatutnya ada perundingan antara parti-parti dalaman, tetapi perkara itu tidak berlaku. Ini antara isu yang perlu kita nilai semula,” katanya.
Dato’ Mohd Razlan turut mempersoalkan sejauh mana janji-janji yang dipersetujui ketika awal penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan telah dilaksanakan selepas hampir tiga tahun.
Beliau menegaskan bahawa garis panduan jelas telah ditetapkan dalam perjanjian bersama, termasuk larangan mencampuri urusan parti lain serta menghormati bidang kuasa kementerian yang diamanahkan kepada parti masing-masing.
“Kalau pentadbiran ini tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi parasit kepada hubungan Kerajaan Perpaduan. Jadi semua pihak perlu menjaga perkara ini,” tegasnya.
#BeritaAAC #UMNO #RazlanRafii #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia #PRK #IsuPolitik #UMNOBangkit #AACEksklusif #SuaraPemimpin