KUALA LUMPUR – Wan Mahussin menegaskan keputusan DNAA (Dilepas Tanpa Dibebaskan) yang akhirnya membawa kepada NFA (Tiada Tindakan Lanjut) terhadap Yang Amat Berhormat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, perlu diterima secara adil dan berprinsip oleh semua pihak, tanpa dwi-standar politik.
Menurut Wan Mahussin, pertuduhan terhadap Presiden UMNO sejak awal lagi dilihat bermotif politik susulan ketegasan Ahmad Zahid untuk tidak membubarkan UMNO, meskipun tekanan hebat diberikan ketika era kerajaan terdahulu.
“Pertuduhan dibuka sehingga 87 kes, walaupun ketika itu bekas Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri pernah membentangkan bahawa tiada bahan bukti kukuh untuk pendakwaan. Namun, kerana keengganan Presiden UMNO tunduk kepada tekanan politik, pertuduhan tetap diteruskan,” katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa 40 pertuduhan digugurkan dan baki 47 kes diteruskan, termasuk ketika Perikatan Nasional memerintah di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jika benar ada bukti kukuh, kenapa digugurkan 40 kes? Ini membuktikan isu utama ialah ketiadaan bukti, bukan soal bersalah atau tidak,” jelasnya.
Mengulas isu prima facie, Wan Mahussin menegaskan bahawa keputusan prima facie bukan pengesahan bersalah, sebaliknya hanya membuka ruang kepada perbicaraan penuh.
“Prima facie bukan hukuman. Ia hanya permulaan proses. Jika prima facie menentukan bersalah, maka banyak kes lain sepatutnya selesai lebih awal.
Hakikatnya, mahkamah perlu menilai hujahan pendakwaan dan pembelaan sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya keputusan DNAA dan NFA mencemarkan sistem kehakiman, sambil menegaskan UMNO konsisten menghormati keputusan mahkamah walaupun ketika keputusan tidak memihak kepada parti itu sebelum ini.
“Kita tidak pernah berhimpun di luar mahkamah, kita tidak pernah menuduh hakim tidak adil. Bila keputusan tidak memihak kepada UMNO, kita terima. Maka bila keputusan hari ini memihak kepada Presiden UMNO, ia juga mesti diterima,” tegasnya.
Wan Mahussin turut mengingatkan bahawa kes DNAA dan NFA bukan sesuatu yang luar biasa, memandangkan kes serupa pernah melibatkan tokoh lain seperti Shahidan Kassim dan Lim Guan Eng.
“Kenapa bila melibatkan Presiden UMNO, ia digambarkan seolah-olah paling jahat? Ini jelas naratif politik, bukan soal undang-undang,” katanya lagi.
Beliau menutup kenyataan dengan menyeru semua pihak agar menghormati institusi kehakiman, menerima keputusan mahkamah secara konsisten dan tidak menafikan hak pembelaan dalam sistem perundangan negara.
#BeritaAAC #ZahidHamidi #DNAA #NFA #PemudaUMNO #KeadilanUntukSemua #HormatiMahkamah #UndangUndangNegara #PolitikMalaysia #UMNOBangkit