KUALA LUMPUR, 13 Januari 2026 – Presiden UMNO, YAB Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa penubuhan Majlis Ulama UMNO bukan bertujuan sempit kepada kepentingan politik, sebaliknya menjadi platform penyatuan pemikiran dan tindakan berteraskan agama Islam merentas ideologi politik.
Beliau berkata, Majlis Ulama tersebut merupakan yang pertama diwujudkan di bawah UMNO sejak beliau mengambil alih kepimpinan parti pada tahun 2018, sekali gus mencerminkan kesungguhan UMNO untuk memperkukuh peranan ulama dalam landskap sosial dan keagamaan negara.
“Apabila kita bercakap soal agama, kita mesti mengetepikan perbezaan ideologi politik. Yang penting adalah kesatuan fitrah, pemikiran dan tindakan. Inilah pendekatan yang kita ambil,” katanya ketika ditemui media sempena Perhimpunan Agung UMNO.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa kerjasama strategik dengan Yayasan Ilmuwan Malaysia menjadi asas penting dalam usaha memperluas peranan Majlis Ulama secara lebih inklusif dan terbuka.
Menjawab soalan wartawan sama ada majlis berkenaan melangkaui sempadan politik dan terbuka kepada penyertaan parti lain termasuk PAS, beliau menjawab dengan jelas bahawa pendekatan tersebut akan dilaksanakan. “Ya, kita akan lakukannya,” katanya ringkas tetapi tegas.
Lebih mengejutkan, Ahmad Zahid turut mendedahkan bahawa satu pengumuman penting akan dibuat pada hari terakhir persidangan Perhimpunan Agung UMNO, melibatkan cadangan penubuhan sebuah organisasi di luar lingkungan politik yang bertujuan menyatukan umat Islam.
Menurut beliau, cadangan penubuhan organisasi tersebut telah mendapat kelulusan kabinet dan akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat, sekali gus dijangka mencetuskan dimensi baharu dalam hubungan antara agama, kepimpinan ulama dan pentadbiran negara.
Pengumuman itu dijangka menarik perhatian ramai pihak dan berpotensi mencorak landskap wacana Islam di Malaysia secara lebih menyeluruh dan merentas parti.
#BeritaAAC #MajlisUlamaUMNO #ZahidHamidi #PAUUMNO #IslamMerentasPolitik #PenyatuanUmat #PolitikIslam #MalaysiaMadani #UlamaDanUmmah #BeritaPanas