KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Dato’ Sri RS Thanenthiran menyifatkan Ucapan Dasar Presiden UMNO sebagai satu ucapan yang menyeluruh, matang dan membawa harapan baharu kepada landskap politik negara, khususnya dalam usaha menyatukan kembali orang Melayu di bawah satu wadah bersama.
Menurut beliau, ucapan yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jelas memperlihatkan kesedaran politik baharu yang menuntut pendekatan lebih terbuka, realistik serta meninggalkan politik dendam dan perpecahan lama.
“Ini satu wadah baharu, satu permulaan baharu. UMNO dibawa ke satu titik kesedaran politik yang lebih matang, di mana perbezaan pandangan diraikan dan satu ‘jenama politik baharu’ perlu mengambil tempat utama,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan ‘tangan terbuka’ yang diketengahkan oleh Presiden UMNO, termasuk kesediaan menerima kembali bekas ahli yang pernah meninggalkan parti, adalah langkah penting dalam membina semula kekuatan politik Melayu.
Dato’ Sri RS Thanenthiran turut menegaskan bahawa konsep UMNO sebagai Rumah Bangsa atau Rumah Landasan Melayu perlu disokong semua pihak kerana penyatuan Melayu merupakan kunci utama untuk memastikan Malaysia dapat bergerak lebih maju ke hadapan.
“Saya percaya penyatuan Melayu ini sangat penting. Jika Melayu bersatu, negara akan lebih stabil dan mampu bergerak ke hadapan dengan lebih kukuh,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan menyatakan kekagumannya terhadap ketabahan Najib yang terus berusaha memohon ihsan serta belas kasihan daripada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berpendapat, Datuk Seri Najib merupakan seorang tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara dan wajar diberikan peluang serta kebebasan untuk kembali bersama keluarga dan berkhidmat kepada negara dalam kapasiti yang sesuai.
“Kita harap kali ini benar-benar ada keadilan dan ihsan. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal kemanusiaan dan penghargaan kepada jasa,” katanya.
#UcapanPresidenUMNO #RumahBangsa #PenyatuanMelayu #PolitikBaharu #UMNOBangkit #ZahidHamidi #RSThanenthiran #Bossku #NajibRazak #BeritaAAC