KUALA LUMPUR, 8 Februari 2026 – Hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, semalam, beberapa individu yang mengambil bahagian dalam himpunan aman di hadapan Sogo telah ditahan pihak berkuasa.
Menurut laporan, mereka yang ditahan dijangka akan didakwa di mahkamah pada bulan hadapan. Susulan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menawarkan perkhidmatan guaman secara percuma kepada individu yang bakal didakwa, bagi memastikan hak mereka dipertahankan.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri apabila hak rakyat untuk berhimpun diceroboh.
“Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk berhimpun, sepatutnya hak ini juga perlu dipertahankan oleh kerajaan hari ini, dan bukan dengan menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa tindakan menahan rakyat yang menyuarakan pandangan mereka dalam himpunan aman adalah sesuatu yang tidak wajar, sebaliknya pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan terhadap pihak yang menceroboh tanah.
“Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah, bukan tahan orang yang mempertahankan pencerobohan!” tegas Dr Akmal Saleh dalam kenyataannya.
Tindakan ini mendapat perhatian ramai dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada rakyat, terutama mengenai soal kebebasan bersuara dan hak berhimpun yang dijamin dalam perlembagaan negara.
Pemuda UMNO menerusi inisiatif ini berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia yang bakal didakwa kerana himpunan aman ini mendapat pembelaan sewajarnya tanpa sebarang kos.