BALAKONG, 12 Februari 2026 – Persatuan Pendukung Pengguna Malaysia (PPPM) telah menganjurkan satu majlis santunan sempena Ramadan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balakong dalam usaha memperkukuh perpaduan dan memperkasa khidmat masyarakat.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh kesederhanaan itu dimulakan dengan bacaan Surah Yassin serta doa selamat sebelum diteruskan dengan sesi makan malam yang menghimpunkan wakil-wakil NGO termasuk Betara, Persatuan Riyadah Anak Balakong serta Persatuan Muay Thai.
Bendahari PPPM, Ahmad Syafie atau lebih dikenali sebagai Ustaz Shafie, dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas kehadiran dan sokongan semua pihak yang bersama-sama menjayakan majlis berkenaan. Beliau turut memaklumkan bahawa satu majlis perasmian rasmi PPPM sedang dirancang dalam masa terdekat.
Menurut beliau, PPPM merupakan pertubuhan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan berperanan dalam bidang kebajikan, sosial serta kepenggunaan, selain menolak sebarang kaitan dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Dalam masa sama, beliau menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi memperkukuh program kemasyarakatan serta membantu aspek penguatkuasaan di lapangan.
Sepanjang bulan Ramadan ini, PPPM merancang pelbagai aktiviti termasuk program bantuan kepada golongan memerlukan, ziarah masjid ke masjid serta inisiatif yang menekankan konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Ahmad Syafie menegaskan bahawa matlamat utama penubuhan persatuan adalah untuk memupuk sikap hormat-menghormati, kasih sayang dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk, demi memastikan kestabilan sosial negara terus terpelihara.
#BeritaAAC #PPPM #Ramadan2026 #NGOMalaysia #Perpaduan #KhidmatMasyarakat!#Balakong #Kebajikan #KomunitiPrihatin #MalaysiaMadani