
KUALA LUMPUR, 8 Mac 2026 – Ketua UMNO Bahagian Seputeh yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dato’ Mohd Razlan Rafii, menyambut baik langkah Presiden UMNO yang membuka pintu tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli parti untuk kembali menyertai UMNO.
Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan niat ikhlas kepimpinan parti untuk menyatukan kembali orang Melayu di bawah satu wadah perjuangan yang sama, lebih-lebih lagi dalam suasana bulan Ramadan yang menuntut semangat muhasabah dan perdamaian.
Razlan berkata, konsep “Rumah Bangsa” yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini merupakan platform untuk menghimpunkan semula individu yang pernah bersama UMNO sebelum ini.
“Apabila Presiden menyatakan tiada syarat, semua boleh masuk semula ke dalam UMNO. Cuma seperti biasa, mana-mana parti pun perlu isi borang keahlian. Itu prosedur biasa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha mengajak kembali bekas ahli bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah UMNO. Katanya, pendekatan sama pernah dilakukan sebelum ini termasuk ketika penyatuan semula ahli-ahli Semangat 46 yang kembali ke pangkuan parti.
Menurut Razlan, langkah tersebut penting bagi memastikan kekuatan politik orang Melayu terus diperkukuh di negara ini.
Dalam masa sama, beliau turut berpandangan bahawa bekas pemimpin UMNO yang kembali menyertai parti termasuk tokoh-tokoh besar berpotensi diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya atau memegang jawatan dalam parti.
“Saya percaya mereka akan diberi ruang untuk berkhidmat. Untuk bertanding juga tidak ada masalah, tetapi ia bergantung kepada kekuatan, pengaruh serta kemampuan mereka membawa sokongan kepada UMNO,” katanya.
Razlan turut mengajak pemimpin dan ahli parti lain yang berteraskan Melayu supaya kembali menyertai UMNO bagi memperkukuhkan penyatuan politik Melayu.
Mengulas perkembangan dalam parti Bersatu, beliau secara terbuka mempelawa pemimpin parti itu termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk kembali menyertai UMNO bersama penyokong mereka.
“Bagi pandangan saya, Datuk Seri Hamzah dan rakan-rakan boleh sahaja masuk UMNO. Tidak ada masalah. Bawa sahaja ahli-ahli yang tidak lagi mahu bersama Bersatu,” katanya.
Tambah beliau, penubuhan lebih banyak parti Melayu hanya akan memecahkan kekuatan politik orang Melayu, sekali gus menyukarkan usaha penyatuan.
“Kalau kita wujudkan lagi entiti Melayu yang lain, penyatuan tidak akan berlaku. Jadi lebih baik semua kembali di bawah payung UMNO,” katanya.
Sementara itu, Razlan turut mengkritik bekas pemimpin UMNO, Isham Jalil, dengan mendakwa individu tersebut tidak memahami perjuangan akar umbi parti.
Beliau mendakwa Isham tidak pernah terlibat secara langsung di peringkat cawangan atau bersama jentera akar umbi, malah menyifatkan pengaruhnya dalam parti sebelum ini sebagai tidak signifikan.
“UMNO sudah banyak berjasa kepada beliau, tetapi jasa beliau kepada UMNO hampir tiada,” katanya.
Razlan menegaskan bahawa UMNO tetap terbuka kepada penyatuan, namun parti itu perlu terus diperkukuhkan dengan pemimpin yang benar-benar memahami perjuangan dan realiti politik akar umbi.
#UMNO #RumahBangsa #PolitikMalaysia #PenyatuanMelayu #BeritaAAC #RazlanRafii. #PolitikSemasa #PRU16 #MalaysiaPolitik #IsuPolitik