
PETALING JAYA, 28 April 2026 – UMNO Bahagian Petaling Jaya hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berhubung satu hantaran media sosial yang didakwa menghina Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, Muhammad A’Zlan Abu Bakar berkata, laporan itu dibuat susulan hebahan di Facebook atas nama Huayan The Pureland Learning Center yang didakwa membawa maksud penghinaan terhadap institusi diraja Selangor.
Menurut beliau, UMNO Petaling Jaya memandang serius perkara tersebut kerana isu penghinaan terhadap institusi Raja tidak boleh dibiarkan berulang, khususnya selepas titah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berhubung isu penternakan babi di negeri Selangor.
Katanya, Sultan Selangor sebelum ini menitahkan agar penternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor mengambil kira pelbagai faktor termasuk pencemaran sungai, pencemaran udara, kekangan tanah serta kedudukan ladang ternakan berhampiran kawasan penempatan padat umat Islam.
Muhammad A’Zlan berkata, walaupun terdapat pandangan bahawa penternakan moden boleh dilaksanakan, tiada jaminan mutlak bahawa kaedah tersebut tidak akan memberi kesan kepada kawasan tadahan air atau sungai yang menjadi sumber air bersih penduduk Lembah Klang.
Beliau turut menegaskan, titah Sultan Selangor berhubung isu tersebut bukan bermaksud menghalang masyarakat bukan Islam mendapatkan bekalan daging babi, sebaliknya baginda turut menyarankan supaya bekalan berkenaan diperoleh melalui import dari luar, termasuk dari Sarawak.
“Isu ini jangan diputarbelitkan seolah-olah ia soal menghalang mana-mana kaum atau agama. Ini soal pencemaran, kesesuaian kawasan, sensitiviti masyarakat dan penghormatan kepada titah Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, UMNO Bahagian Petaling Jaya memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang didakwa cuba mencemarkan institusi Raja atau memperlekehkan titah Sultan Selangor.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar supaya memberi tumpuan kepada isu lebih mendesak yang membebankan rakyat, khususnya masalah banjir yang masih berlarutan di beberapa kawasan.
Muhammad A’Zlan berkata, kerajaan negeri perlu dilihat lebih tegas dan serius dalam menjaga kepentingan rakyat, selain memastikan setiap pihak menghormati titah serta kedudukan institusi diraja di Selangor.
“UMNO Bahagian Petaling Jaya menegaskan, institusi Raja wajib dihormati. Jangan sesekali mencabar atau mempermainkan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Daulat Tuanku,” katanya.
#DaulatTuanku #HormatiInstitusiRaja #UMNOPetalingJaya #SultanSelangor #AACNews