
KUALA LUMPUR, 11 Mei 2026 – Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dato’ Dr Kalaivanar membidas keadaan jalan rosak dan berlubang di kawasan Taman Paik Siong yang didakwanya telah berlarutan sejak sekian lama tanpa tindakan penyelesaian menyeluruh daripada pihak berkaitan.
Beliau yang melakukan tinjauan di kawasan berkenaan mendakwa keadaan infrastruktur di situ tidak mencerminkan imej Selangor sebagai negeri maju, sebaliknya memperlihatkan masalah asas yang masih gagal ditangani dengan baik.
Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, keadaan jalan yang berlubang, longkang tersumbat serta permukaan jalan yang tidak rata bukan sahaja menyusahkan penduduk, malah turut membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.
“Ini jalan atau permukaan bulan? Lubang di sana sini. Bila hujan, lubang dipenuhi air dan pengguna jalan raya tidak nampak. Ini boleh menyebabkan kemalangan,” katanya ketika melakukan terjahan di kawasan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya hasil kutipan cukai rakyat termasuk cukai pintu dan cukai taksiran sekiranya masalah asas seperti jalan rosak dan sistem perparitan tersumbat masih gagal diselesaikan.
Katanya, rakyat berhak menuntut perkhidmatan yang lebih baik daripada pihak berkuasa tempatan kerana mereka tetap membayar pelbagai cukai dan caj yang dikenakan setiap tahun.
Dalam tinjauan tersebut, Kalaivanar turut mengkritik wakil rakyat, ahli majlis pihak berkuasa tempatan serta pihak berkaitan yang didakwanya gagal turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk.
Beliau mendakwa rakyat akhirnya menjadi mangsa apabila terpaksa menanggung risiko kerosakan kenderaan, kemalangan dan ancaman keselamatan setiap kali menggunakan laluan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya mengalami kemalangan atau kerosakan kenderaan akibat keadaan jalan rosak, termasuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.
“Kalau berlaku kemalangan, buat laporan polis. Kalau perlu, ambil tindakan undang-undang. Ini melibatkan keselamatan dan nyawa rakyat,” tegasnya.
Dato’ Dr Kalaivanar turut menggesa pihak berkuasa tempatan, kementerian berkaitan serta wakil rakyat kawasan terbabit segera turun padang dan mengambil tindakan membaiki jalan serta menyelesaikan isu longkang tersumbat yang menyebabkan air bertakung di kawasan tersebut.
Menurutnya, masalah berkenaan tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan keselamatan pengguna jalan raya.
#BeritaAAC #TamanPaikSiong #JalanRosak #SuaraRakyat #Kalaivanar