
KINRARA, 23 Mei 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar meluahkan rasa puas hati selepas keadaan jalan berlubang di sekitar Kinrara yang sebelum ini didakwa rosak teruk akhirnya siap dibaiki dalam tempoh kurang seminggu selepas isu tersebut dibangkitkan menerusi media sosial.
Beliau yang juga mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara berkata, keadaan jalan yang kini lebih baik membuktikan kerja baik pulih sebenarnya boleh dilakukan dengan segera sekiranya ada tekanan dan suara rakyat diberi perhatian.
Menurutnya, tugas menjaga kemudahan asas rakyat sepatutnya menjadi tanggungjawab wakil rakyat, ahli majlis dan pihak berkuasa berkaitan, bukan hanya bertindak selepas isu menjadi tular.
“Sepatutnya ini kerja wakil rakyat. Apabila dipilih, mereka sudah buat akujanji untuk berkhidmat kepada rakyat. Tapi bila kita bersuara dan tegur, barulah kerja jalan dibuat,” katanya ketika turun meninjau kawasan tersebut.
Dato’ Dr Kalaivanar turut menegaskan, beliau tidak menyalahkan penjawat awam yang melaksanakan kerja di lapangan, sebaliknya mempersoalkan peranan ahli politik, ADUN dan ahli majlis yang didakwa gagal memantau masalah rakyat lebih awal.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak majlis perbandaran serta jabatan kerajaan yang terlibat dalam kerja baik pulih jalan berkenaan sehingga laluan tersebut kini lebih selamat digunakan orang ramai.
Katanya, isu jalan berlubang bukan perkara kecil kerana boleh mengundang risiko kemalangan, kerosakan kenderaan serta membahayakan pengguna jalan raya terutama ketika hujan.
“Kalau ada orang ditimpa kemalangan disebabkan lubang atau jalan tidak sempurna, buat laporan polis dan panggil saya. Kita akan ambil tindakan sewajarnya kerana ini melibatkan keselamatan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Selangor sebagai antara negeri yang mempunyai hasil tinggi sepatutnya mampu memastikan kemudahan jalan raya berada dalam keadaan baik dan selamat untuk rakyat.
Beberapa penduduk Kinrara yang ditemui turut melahirkan rasa lega selepas jalan berkenaan siap dibaiki. Mereka mendakwa keadaan jalan sebelum ini semakin teruk sejak beberapa tahun lalu sehingga ada yang bimbang kenderaan rosak akibat melalui kawasan tersebut setiap hari.
Seorang penduduk berkata, kerja pembaikan hanya berlaku dengan pantas selepas isu itu diviralkan oleh Dato’ Dr Kalaivanar, sekali gus membuktikan suara rakyat melalui media sosial kini memberi kesan besar kepada pihak bertanggungjawab.
“Dulu jalan ini memang teruk, berlubang dan menyusahkan. Lepas Dato’ datang buat video, tak sampai seminggu sudah siap. Terima kasih Dato’ Kalai,” kata penduduk berkenaan.
Dato’ Dr Kalaivanar berkata, beliau sedia turun ke kawasan lain sekiranya terdapat aduan rakyat berhubung jalan rosak, longkang tersumbat atau kemudahan awam yang tidak diselenggara dengan baik.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak takut bersuara dan menuntut hak mereka sebagai pembayar cukai, kerana kemudahan asas yang baik adalah tanggungjawab pihak yang dipilih serta dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Suara rakyat, suara keramat. Kita mahu Malaysia bersih, cantik, makmur dan selamat. Jangan tunggu viral baru mahu bekerja,” katanya.
#BeritaAAC #SuaraRakyatSuaraKeramat!#DatoDrKalaivanar #JalanRosak #Kinrara