
SUBANG – Hubungan kerjasama politik antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Kerajaan Perpaduan kini dilihat semakin retak dan berdepan ujian getir.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Dr. Armand Azha Hj. Abu Hanifah mendedahkan bahawa keretakan ini berpunca daripada tindakan segelintir pimpinan parti komponen PH yang secara terbuka menyentuh isu sensitif akar umbi serta melanggar semangat persefahaman yang telah dipersetujui.
Menurut beliau, ketegangan mula memuncak apabila isu-isu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 153 mula dibangkitkan, selain tindakan berterusan pemimpin PH, khususnya DAP, yang mengeluarkan kenyataan sinis serta serangan peribadi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
”Kenyataan seperti ini bukan sahaja tidak membantu mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, malah semakin melebarkan jurang kepercayaan antara parti-parti yang bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Isu Tempatan & Kemelut Negeri Sembilan Cetus Kekecewaan
Mengulas lanjut, Armand turut menyatakan beberapa isu lain yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong UMNO termasuk isu penternakan babi, titah Sultan, kebajikan rakyat, serta kemelut politik di Negeri Sembilan yang sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian yang meyakinkan.
Beliau menegaskan, pihak luar tidak seharusnya hanya menyoal mengapa penyokong UMNO dan BN berasa marah, sebaliknya perlu menilai kembali lambakan kenyataan provokatif yang dikeluarkan oleh pimpinan PH sepanjang hampir tiga tahun kerjasama ini berlangsung.
Naratif Jahat Isu Bubar DUN Johor
Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung, Armand membidas tindakan pihak tertentu yang menuding jari kepada UMNO dan BN susulan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Beliau menyelar pendekatan ‘hatred politics’ (politik kebencian) yang masih dimainkan oleh pihak lawan yang terus-menerus menggunakan naratif berkaitan Datuk Seri Najib Razak sebagai modal kempen utama.
”UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah mengkhianati sesiapa. Kerjasama hanya akan kekal kukuh apabila semua pihak menghormati antara satu sama lain, bukannya apabila satu pihak terus menguji kesabaran pihak yang lain.”
Di akhir kenyataan beliau, Armand menyeru seluruh rakyat Johor untuk menilai fakta dengan matang demi kestabilan negeri, selain menggesa jentera BN untuk terus berdisiplin dan tidak terjebak dengan politik kebencian.
”Johor memerlukan politik yang matang, politik yang membina dan politik yang memberikan keyakinan kepada rakyat. Maju Johor,” ujarnya.
#PolitikJohor #KerajaanPerpaduan #ArmandAzha #PRNJohor #SuaraAkarUmbi
