
KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan menyifatkan PAS sebagai sebuah parti politik yang bersifat oportunis dan sentiasa menangguk di air keruh demi meraih keuntungan politik mereka sendiri. Beliau turut mengingatkan para pengundi, khususnya di Negeri Sembilan, agar berhati-hati dalam membuat pilihan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Dr. Azam, tindakan PAS yang didakwa sering ‘mengubah tiang gol’ politik menunjukkan ketidakikhlasan parti tersebut dalam menjalin kerjasama, termasuklah hubungannya dengan Barisan Nasional (BN). Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini, beliau menegaskan terdapat usaha daripada parti itu yang cuba memecah-belahkan undi orang Melayu serta mendesak penubuhan kerajaan gabungan sebelum keputusan rasmi diumumkan.
”PAS ini adalah sebuah parti oportunis. Mereka melihat Barisan Nasional tengah ‘high’, mereka pun masuk. Malah di PRN Johor, mereka meletakkan 11 calon yang jelas memecahkan undi Melayu, walaupun kononnya mahu membantu BN. Kita perlu berhati-hati, politik bukan sekadar ukhuwah Islamiah, tetapi ia penuh dengan kepentingan peribadi,” katanya dalam sesi temubual Sembang Kopi baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr. Azam turut menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Madani. Beliau mendakwa, berdasarkan analisis dan maklum balas daripada penjawat awam serta rakan-rakan dalam kerajaan, majoriti daripada mereka sudah ‘tidak tahan’ dengan corak pentadbiran PH yang diumpamakan seperti “kaduk naik junjung”.
Tegas beliau, biarpun PH memimpin kerajaan hari ini, pengaruh DAP tetap tidak berubah di dalam gabungan tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap momentum kemenangan BN di Johor dapat diterjemahkan ke PRN Negeri Sembilan. Beliau turut menyeru para pengundi untuk mengembalikan mandat kepada Barisan Nasional yang mempunyai rekod prestasi (track record) yang terbukti cemerlang dalam mentadbir negeri berkenaan sebelum ini.
#PRNnegirisembilan #PasOportunis #KerajaanMadani #SembangKopiAAC #BeritaAAC
