KUALA LUMPUR, 30 Disember 2025 – Kemelut politik di Perlis yang menyaksikan pertukaran Menteri Besar, peletakan jawatan beberapa pemimpin serta perbalahan dalaman parti disifatkan sebagai berpunca daripada perebutan kuasa dan bukan isu kesihatan seperti yang digambarkan sebelum ini.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, apa yang berlaku di Perlis memperlihatkan konflik dalaman serius khususnya dalam Perikatan Nasional (PN), melibatkan PAS dan BERSATU, walaupun sebelum ini sering melaungkan slogan perpaduan dan penolakan terhadap DAP.
“Ini bukan soal kesihatan. Bila orang politik nak berundur, alasan kesihatan sering dijadikan pelindung. Hakikatnya, ini perebutan kuasa,” tegas beliau.
Dr. Azam turut menyifatkan Perlis sebagai sebuah negeri kecil tetapi sarat dengan permainan politik yang kompleks. Katanya, UMNO yang pernah menjadi tulang belakang pembangunan negeri itu kini langsung tidak mempunyai wakil rakyat, namun konflik tetap berterusan walaupun kuasa sepenuhnya berada di tangan pihak lain.
Beliau turut mengulas mengenai tindakan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan, serta beberapa pemimpin lain yang turut berundur, sebagai satu isyarat jelas bahawa krisis dalaman semakin parah.
“Kalau nak letak jawatan, letaklah semua. Yang bising bukan rakyat, tetapi ahli-ahli sendiri yang sudah tidak percaya dengan kepimpinan,” katanya.
Menurut beliau lagi, perbalahan dalam PN membuktikan bahawa isu sebenar bukanlah soal ideologi atau parti lawan, sebaliknya kegagalan mengurus nafsu kuasa dan kepentingan peribadi.
Dr. Azam turut mengingatkan UMNO agar lebih berhati-hati dalam menentukan hala tuju politik, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.
“Jangan buat keputusan terburu-buru. UMNO perlu berfikir secara matang. Masa depan parti dan negara bergantung kepada kebijaksanaan hari ini,” tegas beliau.
Beliau menutup kenyataannya dengan menegaskan bahawa rakyat Perlis telah membuat pilihan mereka dan pemimpin yang ada perlu bertanggungjawab sehingga tamat penggal, sambil menyifatkan kemelut yang berlaku sebagai pengajaran besar kepada semua parti politik.
#PerlisBergolak #PolitikPerlis #UmnoBangkit #PNKrisis #DrAzamRauzan