KUALA LUMPUR — Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai seorang pemimpin berjiwa besar, matang dan tidak mudah melatah walaupun sering menjadi sasaran kritikan dan serangan politik dari pelbagai arah.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, berkata sikap tenang yang ditunjukkan oleh Zahid membuktikan ketokohan sebenar seorang pemimpin nasional yang memahami denyut nadi politik negara.
“Itulah namanya presiden atau pemimpin yang berjiwa besar. Dia tak melatah, tapi dia dengar,” katanya ketika mengulas kritikan berterusan terhadap Zahid Hamidi.
Menurut beliau, walaupun sering ‘dihentam kiri, kanan, depan dan belakang’, Zahid tetap kekal tenang dan memilih untuk bertindak secara strategik, bukan emosional.
Dr. Azam turut menyifatkan Zahid sebagai “the mastermind of Malaysian politics”, seorang tokoh yang sukar dibaca lawan politik dan memiliki pendekatan berbeza berbanding pemimpin lain.
“Orang tikam dia, orang tuduh macam-macam, tapi dia senyum saja. Tak ramai yang benar-benar kenal siapa Dato’ Zahid sebenarnya,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan pernah mengenali Zahid secara lebih dekat ketika Presiden UMNO itu berulang-alik menghadapi proses mahkamah, dan mengakui banyak perbualan dilakukan secara terbuka dan dari hati ke hati.
Menepis dakwaan kononnya beliau menerima habuan atau projek daripada Zahid, Dr. Azam menegaskan dirinya tidak pernah memperoleh sebarang kepentingan peribadi.
“Wallahi wabillahi watallahi, belum ada. Saya bukan jenis itu. Apa yang ada hari ini masih halal,” katanya.
Dalam nada penuh keyakinan, Dr. Azam menyuarakan doa dan harapan agar Zahid Hamidi diberi peluang memimpin negara pada masa hadapan.
“Saya doakan supaya Dato’ Zahid akan jadi PM ke-11. Percayalah, 2026 akan membawa karamah kepada UMNO,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak, khususnya akar umbi, agar bertenang, menghentikan budaya saling mencela dan memberi ruang kepada proses politik berjalan secara matang demi kestabilan negara.
#ZahidHamidi #UMNO #PolitikMalaysia#AkarUmbiUMNO #PresidenUMNO #PMKe11 #PolitikMatang #SembangKopi #SuaraAkarUmbi #BeritaAAC