KUALA LUMPUR — UMNO memberi amaran keras agar isu-isu sensitif yang menyentuh maruah orang Melayu tidak terus dimainkan oleh mana-mana pihak dalam kerajaan perpaduan kerana ia boleh menggugat kestabilan politik negara yang sedang diusahakan bersama.
Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Mohd Razlan Rafii, menegaskan bahawa walaupun UMNO memahami keperluan saling menghormati dalam kerangka kerajaan perpaduan, namun terdapat batas adab yang tidak seharusnya dilanggar, khususnya apabila melibatkan sensitiviti orang Melayu.
Menurut beliau, kenyataan tidak beradab oleh seorang pemimpin DAP yang disifatkan seolah-olah “meraikan kesengsaraan seseorang” adalah sesuatu yang tidak wajar dan mencetuskan kemarahan orang Melayu.
“Bila ada perkataan-perkataan yang tidak enak didengari terhadap orang Melayu, sudah tentu orang Melayu akan marah. Perkara ini tidak patut dipermain-mainkan,” tegasnya.
Dato’ Mohd Razlan turut mengecam sikap kepimpinan DAP yang didakwanya gagal menegur atau membantah kenyataan berkenaan, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa ia dipersetujui secara senyap.
Beliau mengingatkan bahawa Barisan Nasional menyertai kerajaan perpaduan demi kestabilan negara, namun kestabilan itu akan sukar dipertahankan sekiranya isu-isu sensitif terus dibangkitkan tanpa mengambil kira perasaan majoriti rakyat.
“Kalau kita terus-menerus menekan orang Melayu sebegini rupa, sukarlah untuk kita meneruskan apa yang telah kita usahakan selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh beberapa isu lain yang dianggap mencetuskan keresahan rakyat termasuk cadangan pelaksanaan Urban Renewal Act (URA) serta Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ditentang keras oleh UMNO.
Menurutnya, UMNO berpendirian jelas menolak Pilihan Raya PBT kerana ia bukan sahaja tidak menguntungkan rakyat, malah membazirkan wang negara dan mewujudkan satu lagi lapisan pentadbiran yang akhirnya membebankan rakyat.
“Tak perlu satu lagi lapisan yang kita perlu bayar gaji, allowance dan kita sendiri tak tahu sejauh mana ketelusan pentadbirannya,” katanya.
Dato’ Mohd Razlan menegaskan bahawa pendirian UMNO bukan bersifat politik sempit, sebaliknya berpaksikan kepentingan rakyat serta kestabilan kerajaan perpaduan.
“Enough is enough. Tolong jaga sama-sama kerajaan perpaduan ini. Jaga tertib dan adab sesama kita,” katanya lagi.
#BeritaAAC #UMNO #KerajaanPerpaduan #IsuSensitivitiMelayu #EnoughIsEnough #PolitikMalaysia #DAP #TolakURA #TolakPilihanRayaPBT #StabilkanNegara