SEPUTEH, 5 Januari 2025 – UMNO Bahagian Seputeh meneruskan komitmen kebajikan dan pendidikan apabila sekali lagi menganjurkan Program Back To School seperti yang dilaksanakan saban tahun, dengan memberi manfaat kepada seramai 300 orang murid daripada keluarga yang memerlukan.
Menurut Dato’ Mohd Razlan Rafii, Ketua UMNO Bahagian Seputeh, program tahunan ini bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa dalam persiapan awal persekolahan, khususnya menjelang sesi persekolahan yang akan bermula minggu hadapan.

“Alhamdulillah, seperti tahun-tahun sebelum ini, kita teruskan Program Back To School dan kali ini seramai 300 murid sekolah rendah dan menengah menerima sumbangan,” katanya.


Setiap murid menerima sumbangan wang tunai RM100, yang diharapkan dapat membantu perbelanjaan keperluan asas seperti pakaian dan kelengkapan sekolah.
Dato’ Mohd Razlan turut merakamkan penghargaan kepada urus setia program, termasuk Biro Pendidikan UMNO Bahagian Seputeh serta seluruh jentera cawangan yang bertungkus-lumus menjayakan inisiatif tersebut.

“Ini adalah gerak kerja cawangan-cawangan di sekitar Seputeh. Kita ada 34 cawangan dan senarai penerima diperoleh daripada ketua-ketua cawangan yang mengenal pasti ahli dan keluarga yang benar-benar memerlukan,” jelas beliau.


Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan harapan agar UMNO terus diberi ruang dan keyakinan oleh rakyat Malaysia untuk kembali menerajui negara suatu hari nanti.

“Kita mengharapkan doa daripada anak-anak ini dan seluruh rakyat agar Allah SWT memakbulkan usaha UMNO untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat,” katanya lagi.

Selain bantuan persekolahan, UMNO Bahagian Seputeh juga konsisten menyalurkan bantuan perkahwinan dan kematian kepada ahli UMNO sebagai sebahagian daripada agenda kebajikan berterusan parti itu.
Program ini sekali lagi membuktikan bahawa UMNO Bahagian Seputeh kekal komited mendekati rakyat melalui tindakan, bukan sekadar retorik.

#BackToSchool #UMNOSeputeh #BantuanPendidikan #PrihatinRakyat #UMNOBersamaRakyat #KerjaBukanRetorik #KebajikanUMNO #AACMedia #PolitikPrihatin