KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan berpunca daripada tekanan dalaman yang semakin meruncing dalam parti BERSATU, sekali gus memberi kelebihan besar kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ridzuan Ikhlas dari Sekretariat Ikhlas Malaysia, isu berkenaan bukanlah berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya bermula akibat pergolakan dalaman parti BERSATU sendiri apabila wujud desakan daripada kepimpinan dalaman yang mahu Tan Sri Muhyiddin berundur daripada jawatan tersebut.
“Tekanan dalaman ini juga berkait rapat dengan kemelut politik di Perlis termasuk pertukaran Menteri Besar, yang akhirnya membawa kepada keputusan Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan,” katanya.
Beliau berpandangan, pengunduran Muhyiddin memberi kesan besar terhadap landskap politik nasional, khususnya kepada PN yang sebelum ini berjaya menarik sokongan besar pengundi Melayu sehingga memenangi lebih 70 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Apabila Muhyiddin letak jawatan, saya yakin ia menguntungkan PH. Malah saya ucapkan tahniah kepada PMX kerana besar kemungkinan beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal lagi pada PRU akan datang,” ujarnya.
Ridzuan turut mengulas usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkenalkan konsep ‘payung besar’ bagi menyatukan orang Melayu, namun disifatkan semakin gagal apabila banyak NGO Islam yang sebelum ini menyokong konsep tersebut kini mula beralih arah.
“Kita lihat NGO Islam yang pro ‘payung besar’ kini mula mendesak supaya Muafakat Nasional diwujudkan semula. Ini menimbulkan kekeliruan besar kepada rakyat – sebenarnya penyatuan Melayu ini mahu dibawa ke mana?” soalnya.
Tambah beliau, kekeliruan antara ‘payung besar’, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional hanya akan menyebabkan orang Melayu terus berpecah, sekali gus memberi keuntungan politik kepada PH.
“Jika matlamat tidak jelas, perpecahan akan berterusan. Akhirnya ia menguntungkan PH yang kini dilihat semakin stabil dan sukar dijatuhkan,” katanya.
Ridzuan juga menegaskan bahawa masa semakin suntuk apabila PRU dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun sahaja lagi.
“Kalau dalam tempoh dua tahun ini orang Melayu masih gagal bersatu, saya bimbang ramai yang tidak akan keluar mengundi pada PRU akan datang,” katanya lagi.