KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) dijangka menjadi medan penting untuk membincangkan hala tuju orang Melayu secara matang dan berfakta, selari dengan cabaran semasa politik negara.
Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Mohd Razlan Rafii, berkata persiapan PAU2025 kali ini dibuat dengan rapi dan tersusun, termasuk penyesuaian format pelaksanaan melibatkan perwakilan dari Sabah.
Menurut beliau, perwakilan dari Sabah dinasihatkan untuk menyertai PAU2025 secara dalam talian berikutan kekangan tertentu, manakala perwakilan lain masih boleh hadir secara fizikal seperti biasa.
“Kali ini mungkin sedikit berbeza kerana kita selarikan dengan kempen di Kinabatangan dan Lamag. Jadi perwakilan dari Sabah kita nasihatkan untuk menyertai PAU2025 secara online,” katanya.
Mengulas kandungan perbahasan, Dato’ Mohd Razlan menegaskan bahawa isu berkaitan hala tuju orang Melayu akan menjadi antara fokus utama persidangan kali ini, selari dengan sejarah panjang UMNO sebagai parti tunjang perjuangan bangsa Melayu.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa perwakilan UMNO kini cukup matang untuk membahaskan isu-isu kepentingan Melayu secara terbuka dan bertanggungjawab, termasuk perkara-perkara yang menimbulkan kebimbangan akar umbi walaupun UMNO kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Walau apa pun yang kita lakukan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, jika ada perkara yang merisaukan orang Melayu, bawalah dan bincangkan secara terbuka melalui jurucakap negeri dan sayap-sayap parti,” jelasnya.
Tambah beliau, setiap pandangan dan usul yang dibangkitkan akan dihimpunkan bagi mendapatkan resolusi terbaik, sebelum diulas secara menyeluruh oleh Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan nanti.
PAU2025 dijangka menjadi platform penting bagi UMNO memperkukuhkan pendirian, menyatukan suara perwakilan serta merangka langkah strategik parti dalam landskap politik semasa.
#PAU2025 #UMNOKekalRelevan #HalaTujuMelayu #PolitikMelayu #UMNOSeputeh #KerajaanPerpaduan #BeritaAAC #IsuRakyat #SuaraPerwakilan #PolitikSemasa