SUBANG, 7 Jan 2026 – Kenyataan dan pendirian Datuk Dr Akmal Saleh selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selepas Konvensyen Pemuda UMNO baru-baru ini terus mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan pelbagai reaksi termasuk sokongan, kritikan serta pendekatan tunggu dan lihat dalam kalangan ahli dan pemerhati politik.
Mengulas perkara itu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Hj Abu Hanifah menegaskan bahawa suara yang dibawa oleh Datuk Dr Akmal sebenarnya mencerminkan pandangan majoriti akar umbi Pemuda UMNO di seluruh negara.
Menurut beliau, sebagai Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr Akmal memikul amanah besar untuk menyampaikan suara dan sentimen sayap Pemuda ke peringkat tertinggi parti, selari dengan peranan dan tanggungjawab jawatan tersebut.
“Beliau membawa suara pemuda pejuang parti. Itulah hakikat dan realiti tugas Ketua Pemuda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dato’ Dr Armand turut mengingatkan bahawa Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri memahami peranan tersebut memandangkan beliau juga pernah menerajui Pergerakan Pemuda UMNO dan dikenali sebagai pemimpin yang lantang serta tegas mempertahankan pendirian ketika berdepan tekanan.
Namun begitu, beliau menyeru semua ahli dan pimpinan parti agar kekal tenang dan berhemah, tanpa melontarkan serangan terbuka, makian atau penghinaan yang hanya merugikan parti.
“Jawatan Presiden UMNO dan Ketua Pemuda UMNO bukan amanah ringan. Setiap keputusan mempunyai implikasi besar terhadap masa depan parti,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan realiti politik hari ini sebagai serba salah, apabila Ketua Pemuda yang bersuara dilabel melawan, manakala yang berdiam diri dianggap lemah dan dikawal. Begitu juga Presiden parti yang sama ada dikritik apabila berdiam diri atau dituduh diktator apabila bersuara.
Persoalannya, kata beliau, adakah budaya saling menyerang dan menuding jari ini benar-benar menguatkan UMNO di mata rakyat atau sebaliknya.
Sehubungan itu, beliau konsisten menyeru semua pihak supaya bertenang dan memberi ruang kepada Presiden, Majlis Tertinggi UMNO serta kepimpinan parti untuk berbincang secara matang demi mencari penyelesaian terbaik.
“Saya yakin semua pemimpin UMNO mempunyai matlamat yang sama, iaitu melihat UMNO kembali kuat, bersatu dan menjadi pilihan rakyat. Tiada siapa yang mahu melihat UMNO hancur,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan datang wajar dijadikan medan terbaik untuk menentukan hala tuju parti secara kolektif dan berdisiplin.
UMNO #PemudaUMNO #DrAkmalSaleh #SuaraAkarUmbi #Bertenang #PolitikMatang #PAUUMNO #UMNOBersatu #MasaDepanUMNO #BeritaAAC