KUALA LUMPUR, 6 Jan 2026 – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal penuh disifatkan sekadar retorik reformasi dan belum mencerminkan keikhlasan sebenar pelaksanaan reformasi institusi.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam membawa agenda reformasi sedangkan Janji 12 Pakatan Harapan (PH) yang menetapkan Perdana Menteri hanya memegang satu portfolio kabinet masih gagal dilaksanakan.
“Jika benar serius mahu melaksanakan reformasi institusi, mengapa PMX masih memegang jawatan Menteri Kewangan? Ini jelas menunjukkan pemusatan kuasa pentadbiran berada di tangan seorang individu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, langkah reformasi yang lebih signifikan dan boleh dilaksanakan segera adalah dengan melepaskan portfolio Menteri Kewangan kepada individu lain, tanpa perlu menunggu pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) di Dewan Rakyat.
Datuk Gulam turut menegaskan bahawa cadangan mengehadkan tempoh dua penggal Perdana Menteri sebenarnya tidak mendesak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi Westminster yang diamalkan Malaysia.
“Dalam sistem kita, Perdana Menteri boleh digugurkan bila-bila masa melalui undi tidak percaya jika hilang sokongan, tidak kompeten atau culas menjalankan tanggungjawab. Tidak perlu tunggu dua penggal,” jelasnya.
Beliau turut membandingkan situasi tersebut dengan negara seperti Amerika Syarikat dan Indonesia yang mengamalkan sistem demokrasi berbeza, justeru menegaskan bahawa pendekatan sama tidak wajar disalin bulat-bulat.
Mengakhiri kenyataannya, Datuk Gulam menuntut agar pemusatan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dihentikan serta-merta jika kerajaan benar-benar ikhlas melaksanakan reformasi institusi.
“Dalam hal ini, saya lebih menghormati kepimpinan Perdana Menteri terdahulu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang lebih telus dalam pentadbiran. Persoalannya, DAP tidak mahu menegurkah? Ini juga sebahagian daripada agenda reformasi yang mereka janjikan,” katanya sinis.
#ReformasiInstitusi #JanjiPH #PMXMenteriKewangan #PemusatanKuasa #politikmalaysia #DewanRakyat #BeritaAAC #IsuSemasa #ReformasiAtauRetorik #UMNOBatu