KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026 – Keputusan YB Dr Akmal Salleh meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka disifatkan sebagai satu tindakan yang merugikan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan beliau sendiri.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman, berkata jawatan EXCO bukan sekadar kedudukan politik, sebaliknya merupakan amanah besar kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan dan bantuan secara langsung kepada rakyat.
“Rugi. Bukan dia sahaja yang rugi, tetapi orang-orang di kawasan beliau. Jawatan EXCO ini amat bererti kerana bukan semua orang dapat peluang tersebut,” katanya ketika mengulas perkara itu.
Menurut beliau, kedudukan sebagai EXCO membolehkan seseorang wakil rakyat menggunakan kuasa serta peruntukan kerajaan bagi membantu rakyat, terutama dari segi kebajikan dan pembangunan di kawasan sendiri.
“EXCO ada peruntukan. Peruntukan itu boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat. Kalau tak jadi EXCO, tak ada peruntukan. Akhirnya, nak bantu rakyat pun tak ada apa-apa, hanya boleh bersuara sahaja,” katanya.
Datuk Sri Tajuddin turut mempersoalkan tujuan sebenar peletakan jawatan tersebut, terutama jika ia dikaitkan dengan usaha untuk menentang DAP.
“Kalau nak hentam DAP, tak perlu letak jawatan. Banyak cara lain. Malah, bila letak jawatan, DAP lagi suka sebab kita dah tak ada kuasa,” ujarnya.
Tegas beliau, perjuangan politik tidak seharusnya hanya bergantung kepada retorik atau serangan lisan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan kuasa dan jawatan bagi membela nasib rakyat secara berkesan.
“Nak melawan DAP, kita perlukan kuasa. Jawatan itu bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk gunakan kuasa kerajaan bagi membela rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO dan Pemuda UMNO seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkasa orang Melayu melalui ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan, bukannya sekadar menyerang pihak lawan.
“Bangsa dan pemuda UMNO perlu diperkasakan. Keperluan dan kehendak mereka mesti ditunaikan. Itu perjuangan sebenar,” katanya lagi.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #EXCOMelaka #DrAkmalSalleh #TajuddinAbdulRahman #UMNO #PemudaUMNO #DAP #IsuSemasa #SuaraRakyat