KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Kehadiran Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) ke Perhimpunan Agung UMNO Pemuda bukanlah satu isyarat politik yang tersirat, sebaliknya mesej yang jelas dan terbuka mengenai keperluan UMNO serta Barisan Nasional (BN) untuk mengukuhkan kembali sokongan rakyat dari pelbagai lapisan.
Menurut Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO dan bekas Menteri Persekutuan itu perlu dilihat secara positif, khususnya dalam konteks landskap politik semasa yang mencabar.
“Ini bukan perkara tersirat, tetapi tersurat. Jelas menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional memerlukan sokongan daripada pelbagai sudut,” katanya ketika diminta mengulas kehadiran KJ ke perhimpunan tersebut.
Dr. Norman menegaskan bahawa KJ merupakan tokoh yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda dan pengundi atas pagar, hasil pengalaman serta kedudukan beliau sebelum ini dalam parti dan kerajaan.
Dalam situasi politik semasa, katanya, UMNO tidak mempunyai pilihan selain memperluaskan saf kepimpinan dengan melibatkan tokoh-tokoh yang berupaya mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap parti.
“Nak tak nak, UMNO perlu meramaikan pemimpin-pemimpin yang boleh mengembalikan sokongan kepada parti, bukan sahaja dalam kalangan ahli, tetapi rakyat daripada pelbagai peringkat dan golongan,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kehadiran KJ akan memberi impak positif terhadap persepsi rakyat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap UMNO dan BN menjelang pilihan raya akan datang.
“Saya yakin kehadiran KJ ini akan memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional,” tambahnya.
#BeritaAAC #PAUPemudaUMNO #KhairyJamaluddin #KJUMNO #PolitikMalaysia #UMNOBangkit #BarisanNasional #SuaraPemuda #PilihanRayaMalaysia #AgendaPemulihanUMNO