KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Penubuhan sayap digital UMNO dilihat sebagai satu komponen strategik yang amat penting dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya dalam landskap politik yang kini banyak dipengaruhi persepsi di media sosial.
Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, berkata penekanan Presiden UMNO terhadap sayap digital bukan sekadar retorik, sebaliknya mencerminkan keperluan mendesak parti untuk membina semula sokongan rakyat melalui platform digital.
Menurut beliau, kehadiran sayap digital yang berkesan mampu meningkatkan engagement pengundi, terutamanya generasi muda, yang kini menjadikan media sosial sebagai sumber utama maklumat dan rujukan politik.
“Digital ini penting kerana ia berkait rapat dengan persepsi. Untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat, UMNO perlu menguasai ruang media sosial secara tersusun dan strategik,” katanya ketika mengulas soalan wartawan mengenai hala tuju sayap digital UMNO.
Namun begitu, Dr. Norman menegaskan bahawa pembentukan sayap digital tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Sebaliknya, ia perlu didukung oleh kerangka yang mantap, jelas dan berasaskan kajian, agar tidak mengulangi kelemahan yang pernah berlaku sebelum ini.
Beliau mengakui isu penguasaan digital telah beberapa kali dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini, namun pelaksanaannya masih dilihat belum mencapai tahap yang diharapkan.
“Sehingga kini, kita masih seolah-olah mencari identiti dan pendekatan sebenar untuk memperkasakan sokongan rakyat kepada UMNO di media sosial. Kali ini, ia perlu dilakukan secara lebih berhati-hati, teliti dan serius,” jelasnya.
Tambah beliau, UMNO dan BN tidak boleh lagi gagal menyesuaikan diri dengan realiti politik baharu, di mana pertempuran idea dan sokongan rakyat banyak berlaku di alam maya, bukan hanya di pentas ceramah atau mesyuarat parti.
#SayapDigitalUMNO #UMNOBangkit #PolitikDigital #PAU2025 #MediaSosialPolitik #UMNOMasaDepan #BNRelevan #PersepsiRakyat #BeritaAAC #PolitikMalaysia