KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – UMNO perlu segera merangka satu grand strategy berteraskan usaha membina semula kepercayaan rakyat sekiranya parti itu mahu menambat kembali sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar berkata, intipati utama ucapan dasar Presiden UMNO jelas menekankan bahawa kepercayaan rakyat merupakan prasyarat paling penting sebelum sokongan dan undi dapat diperoleh.
“Rakyat mahu mengundi, rakyat mahu menyokong, tetapi rakyat perlu percaya terlebih dahulu. Sebab itu grand strategy UMNO mesti berfokus kepada pembinaan kepercayaan,” katanya ketika mengulas hala tuju parti itu.
Menurut beliau, usaha membina kepercayaan rakyat boleh dipecahkan kepada tiga elemen utama, iaitu menyusun semula persepsi, menampilkan credibility kepimpinan serta mewujudkan kejelasan politik yang tegas dan konsisten.
“Kejelasan politik ini paling kritikal kerana ketika ini bukan sahaja rakyat, malah ahli UMNO sendiri dilihat mula hilang kepercayaan terhadap parti,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Presiden UMNO telah memberi penekanan terhadap keperluan memperjelaskan kerjasama politik melalui inisiatif seperti Rumah Bangsa Melayu dan Jawatankuasa Penyatuan Ummah, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam membina keyakinan semula rakyat.
Bagaimanapun, Dr. Norman mengakui bahawa kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap UMNO tidak dapat dipisahkan daripada persepsi hubungan UMNO dengan DAP, yang sering dimanipulasi melalui naratif “UMDAP”.
“Isu ini masih menghantui penyokong Melayu UMNO kerana kepimpinan UMNO dilihat terlalu reaktif. Kita asyik membalas kenyataan DAP, tetapi gagal memimpin naratif sendiri,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan UMNO menguasai naratif telah membuka ruang kepada pihak lawan untuk membentuk persepsi negatif sehingga menjejaskan keyakinan rakyat, terutamanya menjelang PRU16.
“Rakyat boleh terima realiti politik, tetapi mereka tidak boleh terima prinsip yang kabur. Apabila UMNO gagal menjelaskan prinsip dan hala tuju, naratif lain yang menguasai pemikiran rakyat,” katanya lagi.
Beliau memberi amaran bahawa tanpa perubahan pendekatan yang lebih strategik dan proaktif, sokongan orang Melayu terhadap UMNO berisiko terus merosot.
#GrandStrategyUMNO #BinaKepercayaanRakyat #UMNOPRU16 #KejelasanPolitik #NaratifUMNO!#PenyatuanUmmah #PolitikMelayu #UMDAP #AgendaRakyat #BeritaAAC