KUALA LUMPUR, 17 Januari 2026 – UMNO kini berada pada landasan tepat untuk kembali sebagai parti dominan negara sekiranya seluruh ahli dan kepimpinan bersatu padu serta menzahirkan kesetiaan mutlak kepada kepimpinan parti, demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Sri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, yang menurutnya menampilkan satu pendekatan baharu lebih santai, tenang dan inklusif, namun sarat dengan mesej kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik semasa.
“Saya rasa sangat gembira dan tertarik dengan transformasi yang dibawa Presiden kali ini. Ucapannya bersantai, tidak keras, tetapi jelas menyatakan bahawa UMNO sudah bersiap sedia,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama UMNO ketika ini adalah memperkukuh gandingan, solidariti dan penyatuan dalam kalangan ahli, selain menuntut komitmen penuh terhadap kepimpinan di semua peringkat.
“Apa yang paling mustahak adalah kesetiaan. Setia kepada Presiden, Ketua Bahagian, Ketua Cawangan dan keseluruhan kepimpinan. Bila ada kesetiaan, insya-Allah tidak akan berlaku pengkhianatan, adu domba dan perkara-perkara yang tidak diingini,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa semangat kesetiaan yang ditegaskan oleh perwakilan Puteri UMNO dalam persidangan tersebut mampu menjadi asas kukuh untuk kebangkitan semula parti.
Mengulas kenyataan Presiden UMNO bahawa pintu UMNO terbuka kepada mereka yang ingin kembali, Datuk Sri Ahmad Razif menyifatkan UMNO sebagai ‘rumah asal’ perjuangan kemerdekaan dan politik orang Melayu.
“Asas menuntut kemerdekaan negara ini hanya satu, iaitu rumah UMNO. Namun selepas merdeka dan berjaya, berlaku perselisihan faham yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan penubuhan pelbagai parti lain,” katanya.
Beliau percaya pendekatan kepimpinan pusat yang kembali kepada asas penubuhan UMNO melalui gagasan ‘Rumah Bangsa’ akan menjadi pemangkin untuk menyatukan kembali bekas pemimpin dan ahli UMNO yang masih memiliki semangat perjuangan.
“Apabila pintu rumah ini dibuka seluas-luasnya, saya yakin ramai yang akan kembali bertaut di bawah satu bumbung perjuangan. Insha-Allah, UMNO akan kembali kuat seperti dahulu,” katanya.
#UMNOBangkit #RumahBangsa #SetiaKepadaUMNO #PolitikPerpaduan #UMNOKembali #SolidaritiUMNO #KesetiaanAsasKekuatan #BeritaAAC #PAU2025 #UMNOMalaysia