KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) disifatkan berada pada landasan tepat untuk kembali menjadi wadah politik utama negara susulan kejayaan membawa semula Parti Progresif Penduduk (PPP) sebagai komponen rasmi gabungan itu.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata perkembangan tersebut membuktikan kepimpinan BN di bawah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semakin kukuh dan berkesan.
“Pertama sekali saya ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden kita kerana berjaya membawa balik PPP. Kini BN mempunyai lima parti komponen dan ini satu permulaan yang baik dalam membentuk semula kekuatan gabungan ini,” katanya ketika mengulas isu penjenamaan semula BN.
Mengulas kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa menerima MIC sebagai komponen mereka, Dr Azam menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan sekadar percubaan untuk mencetuskan kekeliruan politik.
“Bagi saya, ini ibarat orang berangan. Belum jatuh talak, mahkamah belum buat keputusan, tapi sudah pergi meminang di tempat lain. Hakikatnya, imej BN dan UMNO kini semakin kuat sebagai wadah perpaduan bangsa,” ujarnya.
Menurut beliau, segala isu dalaman MIC telah diselesaikan oleh kepimpinan tertinggi BN dan perkara itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.
“Saya pegang satu sahaja – bila Presiden BN kata isu MIC sudah selesai, maka itu yang kita ambil. Kenyataan lain hanyalah hasad dengki untuk memecah-belahkan Barisan Nasional,” katanya lagi.
Dr Azam turut menegaskan BN tidak boleh lagi bersikap pasif dan perlu bergerak agresif dari sekarang dalam membina naratif politik yang kukuh menjelang kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kita tak boleh tunggu sampai bubar baru nak gerak. Masa adalah penentu kejayaan atau kegagalan dalam politik. Solidariti, kesatuan dan semangat persefahaman dalam BN mesti dibetulkan dan diperkukuh dari sekarang,” katanya.
Beliau optimis pendekatan inklusif BN, termasuk menerima parti-parti ‘Friends of Barisan Nasional’, akan menarik lebih banyak sokongan termasuk dari Sabah dan Sarawak.
“Lagi ramai yang bersama BN, lagi baik. Percayalah, dengan niat memastikan negara ini terus maju, Barisan Nasional akan kembali menjadi teraju utama pentadbiran negara,” katanya.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #BarisanNasional!#UMNO #PPP #MIC #PRU16 #SolidaritiBN #IsuSemasa #PolitikTerkini