KUALA LUMPUR – Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak seharusnya terus digembar-gemburkan kerana berpotensi menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia, tegas aktivis masyarakat, Ariffin Abu Bakar.
Menurut beliau, desakan terhadap pengiktirafan UEC dilihat berpunca daripada tekanan pihak tertentu termasuk pertubuhan pendidikan Cina, sedangkan negara ini sudah mempunyai sistem penilaian pendidikan yang mantap melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Kita berada dalam negara yang berdaulat dan ada sistem sendiri. MQA adalah piawaian utama pendidikan negara, dari peringkat SPM sehinggalah ke IPTA dan IPTS. Kenapa perlu timbulkan UEC lagi?” soal beliau.
Ariffin menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah jelas meletakkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, manakala UEC pula secara terbuka menjunjung penggunaan bahasa Mandarin, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keserasian dasar tersebut dengan kerangka nasional.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan wujud pengaruh korporat tertentu di sebalik desakan berterusan terhadap UEC, walaupun perkara tersebut masih belum dapat dipastikan secara jelas.
“Kita minta pihak berkaitan supaya berhentilah menimbulkan isu ini. Kita nak jaga perpaduan negara. Kita dah ada MQA, kekalkanlah,” katanya.
Mengulas lanjut, Ariffin menjelaskan walaupun dirinya pernah melalui sistem pendidikan berbeza, beliau tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai wacana politik atau menuntut pengiktirafan khas.
“Saya sendiri pernah belajar di bawah LEB, tapi saya tak pula gembar-gemburkan atau desak pengiktirafan. Kita hormati sistem sedia ada,” ujarnya.
Dari sudut politik, beliau melihat kebangkitan semula isu UEC sebagai satu permainan politik, khususnya selepas keputusan pilihan raya di Sabah yang menyaksikan DAP menyapu bersih kerusi tertentu.
“Bila DAP bersih kerusi, tiba-tiba isu UEC timbul semula. Ini nampak seperti permainan politik. Itu pendapat saya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keputusan mengekalkan portfolio Menteri Pendidikan dalam rombakan kabinet baru-baru ini, walaupun menteri tersebut dilihat sebelum ini tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC.
Sehubungan itu, Ariffin menyeru semua pihak agar memberi kepercayaan kepada golongan profesional dalam bidang pendidikan dan tidak terus memanaskan isu yang telah lama dibangkitkan.
“UEC ini bukan isu baru. Dah berbulan. Kalau boleh, jangan timbulkan lagi. Kita kekalkan kestabilan dalam kerajaan perpaduan demi masa depan negara,” katanya.
#IsuUEC #UtamakanMQA #PerpaduanNegara #PendidikanMalaysia #BahasaKebangsaan #PolitikPendidikan #KerajaanPerpaduan #AACNews #SuaraAktivis #MalaysiaHarmoni