KUALA LUMPUR, 30 Januari 2026 – Aktivis masyarakat, Dato’ Sri Salim Abdul Rahman, tampil mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkan Kerajaan Perpaduan hari ini sebagai kerajaan yang benar-benar bekerja untuk rakyat serta mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT.
Dalam kenyataan kepada media, beliau melahirkan rasa bangga terhadap kepimpinan Perdana Menteri ke-10 itu walaupun berdepan pelbagai serangan, fitnah dan cubaan menjatuhkan kerajaan sejak hampir empat tahun lalu.
Menurut Dato’ Sri Salim, segala kecaman dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sedikit pun melemahkan kepimpinan negara, sebaliknya membuktikan keteguhan kerajaan Madani yang terus menunduk dan berkhidmat kepada rakyat.
“Lebih banyak dihina dan dicuba dijatuhkan, lebih jelas kita lihat kebaikan yang Allah berikan kepada kerajaan hari ini. Ini kerajaan yang bekerja, bukan sombong, bukan bongkak, tetapi menjadi hamba kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyentuh pencapaian ekonomi negara termasuk kestabilan nilai ringgit, yang menurutnya menunjukkan keyakinan dunia terhadap pentadbiran Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
Selain isu domestik, Dato’ Sri Salim menegaskan peranan aktif Perdana Menteri di peringkat antarabangsa, termasuk usaha diplomatik dalam konflik serantau dan sokongan konsisten terhadap isu Palestin, yang menurutnya telah mengharumkan nama Malaysia sebagai negara Islam yang berprinsip.
“Dunia melihat seorang pemimpin Islam dari negara kecil berpenduduk 33 juta, tetapi memiliki suara dan pengaruh besar kerana berjiwa rakyat dan berpegang pada nilai Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas kerajaan dalam membanteras rasuah dan jenayah, termasuk peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sambil menegaskan bahawa usaha membersihkan negara bukan satu kesalahan, sebaliknya satu amanah.
Dato’ Sri Salim turut menyeru rakyat agar tidak terus terperangkap dalam permainan sentimen sempit yang memecah-belahkan masyarakat, sebaliknya melihat realiti prestasi kerajaan dan manfaat yang diterima rakyat, khususnya golongan nelayan, petani serta usaha penyediaan rumah mampu milik.
“Sudah-sudahlah menghina. Tanya pada diri sendiri mengapa kerajaan ini tidak jatuh walaupun setiap hari dicerca. Jawapannya jelas – kerana keadilan dan kebenaran itu milik Allah,” katanya.
#BeritaAAC #KerajaanMadani #AnwarIbrahim #PMX #KerajaanPerpaduan #PolitikMalaysia #SuaraRakyat #MalaysiaMadani #IsuSemasa #KebenaranDanKeadilan