KUALA LUMPUR – Isu berkaitan pembinaan kuil haram tidak wajar dijadikan bahan permainan politik sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian negara, tegas Aktivis Baju Merah, Ariffin Abu Bakar.
Menurut beliau, kebelakangan ini timbul kebimbangan apabila isu kuil haram seolah-olah mempunyai modus operandi tertentu, khususnya apabila terdapat kes pampasan diberikan kepada pihak tertentu, sekali gus membuka ruang kepada pembinaan kuil baharu di atas tanah persendirian tanpa kebenaran yang jelas.
“Bila ada satu kuil dapat pampasan, kita tengok ada pula yang lain menyusul. Sampai naik kuil di atas tanah persendirian, termasuk di Dengkil. Ini yang membimbangkan,” katanya.
Sehubungan itu, Ariffin menggesa agar persatuan atau pertubuhan yang berkaitan dengan rumah ibadat tampil memainkan peranan lebih bertanggungjawab serta menghormati undang-undang dan sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut tidak seharusnya dieksploitasi secara berlebihan demi kepentingan politik sehingga akhirnya mencalarkan perpaduan kaum yang sekian lama terpelihara.
“Saya sendiri ramai rakan India dan Cina. Malah ada juga rakan-rakan India yang menyuarakan kebimbangan tentang perkara ini. Janganlah kita terlampau mengambil kesempatan dalam isu sensitif,” ujarnya lagi.
Tambah Ariffin, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum dan agama yang hidup secara harmoni, berbeza dengan banyak negara lain di dunia.
Beliau turut mengambil contoh keharmonian kaum di Kelantan, Terengganu, Johor serta negeri-negeri lain yang membuktikan bahawa hubungan antara kaum masih kukuh, kecuali disebabkan tindakan segelintir pihak yang sengaja membangkitkan isu sensitif.
“Kita tak mahu negara yang cantik ini dicemari masalah perpaduan kaum. Saya merayu kepada segelintir pihak, tolonglah jangan rosakkan hubungan baik antara kaum di negara kita,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru semua pihak agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan saling menghormati demi kestabilan serta keharmonian negara.
#PerpaduanKaum #IsuKuilHaram #MalaysiaHarmoni #JanganPolitikkanIsu #AACNews #SuaraRakyat #AktivisBajuMerah #IsuSensitif #NegaraUnik #HarmoniBersama