BALAKONG, 12 Februari 2026 – Susulan tular satu rakaman video membabitkan insiden sebuah kenderaan jenis Hilux pada pagi tadi, Persatuan Pendukung Pengguna Malaysia (PPPM) tampil menyeru orang ramai khususnya pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi tanpa mendapatkan maklumat yang sahih.
Bendahari PPPM, Ustaz Shafie menegaskan bahawa masyarakat perlu mengamalkan prinsip tabayyun iaitu menyelidik terlebih dahulu sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita.
Menurut beliau, tindakan menyebarkan maklumat tanpa mengetahui punca sebenar kejadian hanya akan menyebabkan salah faham serta tafsiran yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Berita yang disampaikan perlu diselidik terlebih dahulu. Kita perlu tahu daripada mana punca sesuatu perkara itu berlaku dan tidak membuat kesimpulan awal,” katanya ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut.
Tambah beliau, PPPM juga berharap agar pihak berkuasa diberikan ruang untuk menjalankan siasatan sepenuhnya tanpa gangguan daripada spekulasi awam yang berpotensi memburukkan keadaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak sahih boleh mengubah sesuatu insiden kecil menjadi isu besar yang akhirnya menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Kadangkala sesuatu perkara itu bermula daripada satu pecikan kecil tetapi boleh menjadi isu besar yang tidak terkawal sekiranya ditokok tambah dengan pelbagai spekulasi,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, PPPM memaklumkan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta NGO lain sebagai rakan strategik bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah tepat dan tidak disalah tafsir.
Ustaz Shafie turut menegaskan bahawa sikap saling menghormati antara kaum dan agama perlu sentiasa dipelihara bagi mengelakkan sebarang pihak mengambil kesempatan terhadap sesuatu insiden demi kepentingan tertentu termasuk untuk meraih perhatian di media sosial.
#Tabayyun #PPPM #BeritaAAC #IsuSemasa #VideoTular #NetizenMalaysia #Siasatan #Perpaduan #Harmoni #MalaysiaPrihatin