HULU SELANGOR, 16 Februari 2026 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini telah melaksanakan Program Ziarah Sinar Kasih Ramadhan 1447H/2026M bagi menyampaikan sumbangan kepada empat keluarga miskin tegar terpilih di sekitar daerah Hulu Selangor.
Empat keluarga tersebut merupakan sebahagian daripada 400 keluarga sasaran di seluruh negara yang akan menerima manfaat melalui inisiatif Sinar Kasih Ramadhan bagi tahun 2026. Kesemua penerima dikenal pasti sebagai miskin tegar dan berdaftar di bawah sistem e-Kasih.
Program ziarah ini telah disempurnakan oleh Pengerusi YBK, Dato’ Zainal Abidin Sakom bersama Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadhan merangkap Pengerusi Asrama Kasih YBK, Datin Dr. Hartini Osman dengan kehadiran wakil Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU), penyumbang korporat, rakan media serta sukarelawan YBK.
Setiap keluarga telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM600 bagi membantu keperluan berbuka puasa dan persiapan sahur sepanjang bulan Ramadhan, yang disumbangkan oleh Pengasas YBK, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Selain itu, penerima turut menerima ‘Kotak Rezeki’ bernilai RM150 yang mengandungi barangan keperluan asas hasil sumbangan pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk:
- Dewina Food Industries Sdn. Bhd.
- Mamee Double-Decker (M) Sdn Bhd
- Dutch Lady Milk Industries Berhad
- Ajinomoto (Malaysia) Berhad
- Universiti Sains Islam Malaysia
- Coca-Cola Malaysia
Antara penerima termasuk keluarga di Kampung Orang Asli Ulu Melaka, Taman Tasik Teratai Serendah, Kampung Sentosa Batang Kali dan Kampung Ulu Rening yang masing-masing berdepan cabaran ekonomi akibat pendapatan rendah serta tanggungan keluarga yang ramai termasuk anak yang menghidap penyakit kronik.
YBK dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang individu dan organisasi yang menjayakan program kebajikan ini. Penyerahan sumbangan dijangka akan diteruskan sehingga minggu kedua bulan Ramadhan.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Program Sinar Kasih Ramadhan 2026 masih berpeluang berbuat demikian melalui Yayasan Basmi Kemiskinan dengan kaedah pembayaran yang disediakan.
#SinarKasihRamadhan #YayasanBasmiKemiskinan #MisiPrihatin #BantuanAsnaf #Ramadhan2026 #KebajikanRakyat #HuluSelangor #PrihatinKomuniti #AACNews #MalaysiaMadani