
KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu skim pelaburan melibatkan sebuah koperasi di Pahang susulan dakwaan kerugian besar yang dialami mangsa.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada seramai 154 mangsa yang mendakwa kerugian dianggarkan mencecah RM9 juta selepas menyertai skim pelaburan yang ditawarkan melalui wakil dan ejen koperasi berkenaan.
Menurut beliau, mangsa-mangsa mendakwa mereka telah diyakinkan untuk melabur melalui janji pulangan dividen bulanan yang tinggi, selain representasi bahawa pelaburan itu disandarkan kepada aktiviti perniagaan sebenar yang sah dan telus.
Katanya, bagi menyertai skim berkenaan, pelabur perlu menjadi ahli koperasi serta membuat bayaran modal pelaburan secara terus kepada pihak koperasi dengan kepercayaan dana tersebut akan diuruskan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, selain skim utama, mangsa juga didakwa ditawarkan satu program pelaburan tambahan melibatkan emas menerusi entiti berkaitan, kononnya membabitkan tempahan emas 916 dengan tempoh kitaran tertentu serta jangkaan keuntungan antara satu hingga tiga peratus.
“Bagaimanapun, mangsa mendakwa pulangan dividen yang dijanjikan tidak dibayar seperti sepatutnya. Bayaran hanya dibuat pada peringkat awal sebelum dihentikan sepenuhnya tanpa penjelasan memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MHO, pelbagai usaha telah dilakukan oleh mangsa bagi mendapatkan penjelasan dan pemulangan modal, termasuk berhubung dengan wakil koperasi serta mengemukakan notis berkaitan penebusan semula pelaburan, namun semuanya didakwa gagal walaupun tempoh dijanjikan telah tamat.
Tambah beliau, mangsa turut membangkitkan kebimbangan bahawa aktiviti pelaburan yang didakwa dijalankan mungkin tidak wujud atau tidak dilaksanakan secara sebenar, selain wujud kemungkinan penggunaan dokumen, penyata kewangan dan rekod transaksi yang tidak tepat, tidak lengkap atau mengelirukan.
Antara perkara yang menimbulkan keraguan serius, katanya, termasuk kemungkinan manipulasi rekod kewangan apabila transaksi yang direkodkan sebagai urus niaga emas didakwa tidak berlaku secara sebenar.
Sehubungan itu, MHO memaklumkan mangsa-mangsa telah mengambil keputusan untuk merujuk perkara tersebut kepada SPRM selepas mendakwa aduan terdahulu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) masih belum menunjukkan perkembangan yang jelas.
MHO menggesa agar siasatan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang melibatkan kesalahan menggunakan dokumen atau representasi mengandungi maklumat palsu, silap atau tidak lengkap dengan niat untuk memperdaya prinsipal.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan fakta yang dibangkitkan, terdapat asas untuk menilai bahawa pihak yang menguruskan pelaburan berperanan sebagai ejen kepada pelabur, manakala pelabur pula merupakan prinsipal yang mempunyai kepentingan langsung terhadap dana dilaburkan.
MHO turut menegaskan pihaknya bersama mangsa-mangsa akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, termasuk menyerahkan dokumen, rekod transaksi dan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Dalam masa sama, MHO menyeru mana-mana individu lain yang turut terkesan atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke hadapan bagi membantu pihak berkuasa menyiasat isu tersebut demi kepentingan awam.
#MHO #SPRM #SkimPelaburan #MangsaPelaburan #AACNews