
KUALA LUMPUR, 26 April 2026 – Program Voices of Ladies anjuran kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) dilihat menjadi platform penting dalam mengangkat suara wanita, belia serta komuniti untuk lebih berani tampil dalam pelbagai bidang, termasuk di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare), YBhg Datin Dr Hajah Hartini Osman berkata, program tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan sejak hari pertama penganjurannya dengan kehadiran ramai peserta, termasuk daripada NGO wanita, universiti dan komuniti setempat.
Menurut beliau, program berkenaan dimulakan dengan forum Voices of Ladies yang menampilkan tokoh-tokoh wanita tersohor negara bagi berkongsi pengalaman, pandangan serta inspirasi kepada golongan wanita untuk terus maju dan menyerlah dalam bidang masing-masing.
Katanya, antara tokoh yang hadir ialah YB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi, yang merasmikan program tersebut serta memberi dorongan supaya wanita terus membawa potensi diri ke tahap lebih tinggi dan berani menonjol di peringkat antarabangsa.
Selain itu, program turut menampilkan Datuk TPr Maimunah, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, yang berkongsi mengenai kepentingan konsistensi dalam membina diri serta keberanian wanita untuk memikul tanggungjawab apabila diberi peluang.
“Wanita mesti berada di meja perbincangan. Kalau tidak, kita hanya akan tinggal sebagai menu sahaja,” katanya ketika merujuk kepada mesej penting yang dibawa dalam forum berkenaan.
Datin Dr Hartini berkata, isu berkaitan sistem, akses, maruah dan peluang untuk wanita turut menjadi antara fokus utama program tersebut, termasuk keperluan memastikan janji 30 peratus penyertaan wanita dalam pelbagai bidang benar-benar ditepati.
Beliau turut memaklumkan bahawa program itu bukan hanya memberi tumpuan kepada wanita, malah turut memperkukuh sinergi bersama golongan belia menerusi sesi khas yang menampilkan aktivis muda, pakar kreatif, motivator keusahawanan serta tokoh sukan.
Menurutnya, penyertaan panel seperti Asya Rahman, Kavita, Datin Ira Ghani dan Daphne Ng memberi nilai tambah kepada program itu kerana mereka membawa perspektif berbeza berkaitan belia, kreativiti, keusahawanan, jati diri serta inklusiviti dalam sukan.
Program berkenaan turut diserikan dengan persembahan artis terkenal termasuk Noryn Aziz, Liza Aziz dan Aisha Retno, sekali gus menarik kehadiran lebih seribu pengunjung ke dewan bagi mengikuti forum serta konsert yang dianjurkan.
Datin Dr Hartini turut merakamkan penghargaan kepada DBKL atas kerjasama menjayakan program tersebut, selain sokongan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), institusi pengajian tinggi seperti MSU dan UPM, NGO wanita serta penduduk kawasan setempat.
Beliau berharap program Voices of Ladies dapat terus menjadi medan memperkasa wanita dan belia, selain membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negara dan arena antarabangsa.
#BeritaAAC #VoicesOfLadies #WanitaHebat #YBCare #WanitaDanBelia