
KUALA LUMPUR, 27 April 2026 – Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional di peringkat nasional akan meneliti keputusan yang dibuat oleh ADUN-ADUN UMNO di Negeri Sembilan berhubung perkembangan politik di negeri itu.
Menurut beliau, isu yang berlaku di Negeri Sembilan perlu dilihat dalam konteks negeri berkenaan, termasuk mengambil kira sistem adat yang diamalkan serta kedudukan undang-undang tubuh negeri.
Katanya, keputusan yang diumumkan oleh ADUN-ADUN UMNO di Negeri Sembilan adalah keputusan mereka sendiri, namun sebarang ketetapan muktamad tetap akan dirujuk kepada kepimpinan parti di peringkat pusat.
“Kepimpinan UMNO serta Barisan Nasional di peringkat nasional akan meneliti keputusan yang mereka lakukan dan kita akan melihat apakah implikasi politik yang dijangkakan berlaku daripada keputusan yang telah diumumkan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media berhubung perkembangan politik di Negeri Sembilan serta pendirian UMNO Pusat terhadap tindakan ADUN-ADUN UMNO di negeri tersebut.
Ahmad Zahid menjelaskan, UMNO lazimnya menghormati dan menyantuni keputusan yang dibuat oleh perhubungan negeri atau wakil rakyat parti di negeri masing-masing, namun perkara tersebut tetap tertakluk kepada proses di peringkat pusat.
“Perkara ini akan dirujuk dan kita akan memutuskan apabila perkara ini dibawa ke Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan tersebut boleh menjejaskan hubungan di peringkat nasional, Ahmad Zahid berkata, semua aspek akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
Mengulas dakwaan bahawa Perikatan Nasional bersedia bekerjasama dengan ADUN UMNO di Negeri Sembilan, beliau berkata dalam politik, pihak tertentu sememangnya akan mencari ruang dan peluang.
“Dalam politik tentu peluang sedang dicari dan tentu peluang ini cuba dirangkul oleh mereka,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bertemu ADUN-ADUN UMNO Negeri Sembilan pada bila-bila masa bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Saya mempunyai waktu yang sangat terbuka untuk mereka dan mereka boleh datang bertemu dengan saya bila-bila masa pada hari ini atau selepas ini,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata penyelesaian terhadap kemelut itu bergantung kepada situasi politik semasa di Negeri Sembilan.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu tersebut, Ahmad Zahid berkata pertemuan itu perlu diadakan.
“Saya perlu bertemu dan beliau perlu bertemu. Bila-bila masa,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa pergolakan itu dikaitkan dengan isu institusi adat dan istana, Ahmad Zahid berkata perkara yang dimaklumkan kepadanya berkait dengan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan berhubung institusi adat dan undang-undang tubuh negeri.
“Inilah yang mungkin menyebabkan ADUN-ADUN daripada parti kami membuat tindakan sedemikian,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, walaupun ADUN-ADUN berkenaan telah memaklumkan perkara itu, keputusan akhir tetap berada di tangan kepimpinan UMNO Pusat.
“Mereka memberitahu, tetapi keputusan itu adalah keputusan negeri. Keputusan muktamadnya datang daripada kita,” katanya.
#BeritaAAC #UMNO #BarisanNasional #NegeriSembilan #PolitikSemasa