
GOMBAK, 27 April 2026 – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran media sosial yang didakwa jelik serta menghina institusi diraja di negeri Selangor.
Ketuanya, Mohd Shaffie Omar berkata, tindakan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali kerana ia menyentuh kedudukan institusi raja yang wajib dihormati oleh semua pihak, khususnya rakyat Selangor.
Menurut beliau, kejadian menghina institusi diraja dilihat semakin kerap berlaku dan keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kesedaran masyarakat masih rendah atau hukuman sedia ada belum cukup memberi pengajaran.
“Apabila perkara seperti ini berlaku kembali, kita minta pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan membawa pihak terlibat ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas serta mempertimbangkan hukuman lebih berat kerana penghinaan terhadap institusi raja disifatkan sebagai satu kesalahan serius, apatah lagi membabitkan Sultan Selangor.
Mohd Shaffie berkata, laporan polis yang dibuat bukan sekadar tindakan politik, sebaliknya sebagai tanda solidariti dan kesetiaan kepada institusi Kesultanan Selangor.
Sehubungan itu, beliau menyeru parti politik, badan bukan kerajaan serta rakyat Selangor yang mencintai institusi diraja supaya turut tampil membuat laporan polis bagi menunjukkan pendirian bersama.
“Biar banyak laporan polis dibuat. Walaupun difahamkan kertas siasatan sudah dibuka, ia menunjukkan solidariti kita kepada institusi Sultan di Selangor,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terus membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian negeri, termasuk perkara yang telah disentuh menerusi titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Katanya, rakyat Selangor perlu lebih peka dan memahami peranan masing-masing dalam menjaga suasana aman, harmoni serta saling menghormati antara kaum dan agama.
Mohd Shaffie turut menolak tanggapan bahawa kurangnya pendidikan berkaitan institusi diraja di sekolah menjadi punca utama perkara itu berlaku, sebaliknya menyifatkan ia berkait rapat dengan jati diri dan penghayatan seseorang terhadap nilai hormat serta kesetiaan.
Beliau berkata, prinsip Rukun Negara khususnya “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara” perlu terus dihayati bukan sahaja di peringkat nasional, malah dalam konteks negeri.
“Kalau kita boleh menghayati sifat ketaatan dan kesetiaan kepada raja dan negara, saya rasa tiada masalah untuk kita hidup aman dan damai di Selangor. Pegang kepada Rukun Negara, insya-Allah,” katanya.
#DaulatTuanku #PemudaUMNOGombak #PertahanInstitusiRaja #SelangorHarmoni #BeritaAAC